suria

Polis Marin Rampas 1,500 Liter Petrol

Polis marin bersama barang-barang rampasan. Foto:PDRM

TUMPAT: Polis Marin merampas sejumlah 1,500 liter minyak petrol dan 10 buah kenderaan bernilai RM150,000 yang diubah suai untuk menyeludup bahan bakar itu di Kampung Simpangan pada Isnin lalu. 

Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 3 Asisten Komisioner Polis (ACP) Azmi Ibrahim berkata dalam serbuan sempena 'Op Cantas Khas Perairan' itu, polis turut menahan lima lelaki rakyat tempatan di pangkalan haram berkenaan ketika sedang memasuki kawasan stor simpanan minyak yang dipercayai untuk diseludup ke negara jiran. 

"Lima buah kenderaan jenis salon telah diubah suai tangki manakala kenderaan jenis pacuan empat roda yang dirampas itu menggunakan tangki asal. 

"Kesemua yang ditahan berumur antara 40 hingga 50 tahun dan kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana kesalahan membawa dan memiliki barangan kawalan tanpa dokumen yang sah," katanya.

Beliau berkata operasi bermula 1 Jun itu melibatkan 30 anggota termasuk tiga pegawai menggunakan tujuh bot peronda meliputi kawasan Kubang Pak Hitam, Pasir Mas sehingga Pulau Perhentian, Besut, Terengganu.

Petrol, Rampas, Polis Marin

Artikel Lain