suria

Suami Isteri Didakwa Tipu Pembekal Daging Babi Lebih RM550,000

KUALA LUMPUR: Sepasang suami isteri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Rabu atas tuduhan memperdayakan seorang pembekal daging babi.

Lee Weng Fatt, 44 dan isterinya, Yeo Mai Fang, 44, dituduh memperdayakan Alan Tan, 37, sehingga mempercayai bahawa cek atas nama Yeo boleh dilunaskan bagi pembayaran pembekalan daging terbabit.

Ekoran perbuatan itu mereka didakwa mendorong Alan untuk membekalkan daging bernilai RM556,605.60.

Pasangan tersebut dituduh melakukan kesalahan itu di Alan Meat Supplier, No. 2, Jalan 14/2, Taman Orkid Desa, Taman Connaught, Cheras pada 22 Jan 2013 hingga 26 Feb 2013.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 415 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 417 kanun yang sama yang boleh dihukum penjara lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya jika disabit kesalahan.

Ketika rayuan mereka memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan kerana berpendapatan rendah iaitu RM1,800 sebulan, selain perlu menanggung tiga orang anak yang masih bersekolah.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa Inspektor Zuraimi Kamarozzaman menawarkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin untuk setiap tertuduh.

Majistret Siti Shakirah Mohtarudin kemudiannya membenarkan ikat jamin RM15,000 untuk setiap tertuduh dengan seorang penjamin dan menetapkan 8 Julai sebagai tarikh sebutan semula kes.


Artikel Lain