suria

AirAsia Tunggu Kelulusan Pejabat Baharu Di KLIA2

Aireen Omar.
KUALA LUMPUR: AirAsia Bhd menjelaskan bahawa syarikat itu sedang menunggu kelulusan pihak berkuasa tempatan untuk memasuki pejabat baharunya di klia2, dan tidak menghadapi sebarang isu pembiayaan, seperti yang didakwa dalam laporan berita.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Aireen Omar berkata syarikat penerbangan itu telah diminta mengurangkan ketinggian bangunan pejabat baharunya setelah menara kawalan klia2 dipindahkan ke tapak baharu seperti yang diarahkan pihak berkuasa.

"Akibat pengubahsuaian ketinggian ini, tapak dan pelan bangunan pejabat baharu yang asal menjadi struktur yang tidak ekonomik," katanya.

Sebuah akhbar harian tempatan pada Isnin melaporkan bahawa AirAsia mungkin menjadi penyebab kelewatan usaha Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) untuk menjadikan Terminal Penerbangan Kos Rendah (LCCT) di Sepang sebagai hab kargo dan logistik global. 

Akhbar itu yang memetik sumber melaporkan, AirAsia mahukan ibu pejabatnya kekal di LCCT selama sekurang-kurangnya setahun.

"Setakat yang diberitahu, MAHB telah memaklumkan kepada AirAsia bahawa pengekalan sementara pejabat kami di sana tidak menimbulkan sebarang gangguan ke atas rancangan," kata Aireen.
 
Beliau berkata AirAsia sudah mengenal pasti tapak baharu dan terpaksa merombak pelannya semula, termasuk mengemukakan kelulusan, yang mempengaruhi jadual pembukaan pejabat baharunya itu.

Pembinaan bangunan baharu dijangka bermula pada Julai 2014 dan siap lewat tahun depan, katanya.

"Kami juga menjelaskan bahawa tidak ada permohonan yang dihantar kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membenarkan pejabat korporat AirAsia dikekalkan di LCCT, seperti yang dilaporkan dalam artikel itu," kata Aireen.

Syarikat penerbangan itu sentiasa berhubung dengan MAHB membabitkan pejabat korporatnya dan yang masih menduduki sebahagian dari tingkat pertama LCCT, katanya.

Artikel Lain