suria

Empat Sahabat Sesat Cari Batu Permata

Gambar Hiasan. Batu permata dijadikan aksesori seperti cincin dan loket digemari ramai.
DUNGUN: Empat sahabat melalui detik mencemaskan ketika mencari batu permata selepas tersesat hampir 12 jam dalam hutan di kawasan Pulau Cakuh 9, Jerangau dekat sini.

Bagaimanapun kesemua lelaki itu Hashim Abu Bakar, 62, Zakaria Mohamad, 56, Hanafi Omar, 57, dan Hazlin Abdul Kadir, 50, berjaya keluar dengan menyusuri tepi sungai kira-kira 7.30 pagi Ahad.

Sebelum kejadian, empat sahabat terbabit yang berasal dari Kampung Penarik Merchang di Marang dikatakan masuk ke kawasan hutan itu, kira-kira pukul 3 petang Sabtu untuk mencari batu permata.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bandar, Al Muktaffi Billah Shah Imran Ismail berkata, selepas menyedari mereka tersesat dalam hutan, seorang daripada mangsa menghubungi talian kecemasan 999.

Katanya, bomba menerima laporan kira-kira pukul 2.30 pagi ini dan kemudiannya bersama sepasukan polis dari Balai Polis Jerangau melancarkan gerakan mencari dan menyelamat.

"Semasa operasi mencari dan menyelamat dilakukan, seorang daripada mangsa memaklumkan kesemua mereka berjaya keluar dari kawasan hutan terbabit, kira-kira pukul 7.30 pagi tadi dan tidak mengalami sebarang kejadian tidak dingini," katanya kepada pemberita di sini, Ahad.

Menurutnya, kesemua mangsa yang selamat itu telah pulang ke rumah masing-masing di Marang.

"Saya menasihati orang ramai yang hendak masuk ke kawasan hutan supaya memaklumkan terlebih dahulu kepada balai polis berhampiran bagi memudahkan anggota penguatkuasa sekiranya berlaku kejadian tidak diingini," katanya. 


Artikel Lain