suria

PRK Teluk Intan: 2 Insiden Provokasi di 2 Pusat Mengundi

Abdul Aziz
TELUK INTAN: Dua insiden pertengkaran akibat provokasi berlaku di dua pusat mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan dekat sini, pagi Sabtu.

Kejadian yang berlaku di Sekolah Kebangsaan (SK) Dato Laksamana Raja Mahkota dan SK Kampung Bahagia itu kerana jalan di sekolah berkenaan kecil dan penyokong calon serta parti bertanding berada dekat antara satu sama lain.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, beliau menerima laporan itu, bagaimanapun tidak mengakibatkan kecederaan.

"Saya difahamkan, ada berlaku sedikit pertengkaran di Sekolah Kebangsaan Dato Laksamana Raja Mahkota dan Kampung Bahagia dekat sini, tetapi tidaklah melibatkan fizikal.

"Perkara itu berlaku kerana jalan di kedua-dua sekolah berkenaan begitu kecil dan penyokong calon serta parti ini berdiri berhampiran antara satu sama lain, dan ada pihak tertentu yang melakukan provokasi dan dijawab oleh orang lain," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di pusat media di Pusat Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini, Sabtu.

Difahamkan, insiden pertengkaran di Kampung Bahagia berlaku di Sekolah Kebangsaan Kampong Bahagia.

Bagaimanapun Abdul Aziz berkata, berdasarkan lawatannya ke beberapa pusat mengundi lain pagi Sabtu, proses pengundian pada PRK Teluk Intan berjalan lancar.

Menurutnya, tiada kesesakan lalu lintas yang teruk dan tiada provokasi di kalangan penyokong parti atau calon yang bertanding.

Dalam pada itu, Abdul Aziz berkata, sehingga pukul 11 pagi, seramai 19,508 orang atau 32.55% yang keluar mengundi.

"Jika ada yang belum turun mengundi, saya harapkan mereka dapat datang mengundi.

"Saya rasa 35 pusat mengundi dan 120 saluran dapat dilakukan dengan baik sehingga petang," katanya.

Keputusan PRK Teluk Intan pada Sabtu dijangka dapat diketahui seawal pukul 9 malam.

Daripada 60,349 pemilih berdaftar, seramai 59,927 layak mengundi biasa pada esok Sabtu.

Sebelum ini, pada hari pengundian awal pada Selasa lalu, seramai 392 daripada 410 pengundi awal atau 95.61% yang merupakan anggota polis keluar mengundi.

PRK Teluk Intan menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mah Siew Keong dan calon DAP, Dyana Sofya Mohd Daud berikutan kematian penyandangnya, Seah Leong Peng pada 1 Mei lalu. 


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain