Agensi Penguatkuasa Pantau Diesel Perlu Dirombak - PAC - Semasa | mStar

Agensi Penguatkuasa Pantau Diesel Perlu Dirombak - PAC

Datuk Nur Jazlan Mohamed
KUALA LUMPUR: Agensi-agensi penguatkuasa yang bertanggungjawab memantau subsidi diesel perlu dirombak secara besar-besaran dalam usaha membanteras penyeludupan diesel ke negara jiran, kata Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Datuk Nur Jazlan Mohamed. 

Nur Jazlan berkata, tindakan tegas perlu diambil kepada pengurusan tertinggi agensi-agensi berkenaan dan pembaziran wang rakyat perlu dihentikan segera. 

"Jenayah ini bukan baharu dan melihat daripada statistik yang dikeluarkan SPRM, penguatkuasaan dijalankan sejak lima tahun lalu, tetapi kegiatan penyeludupan terus berlaku," katanya dalam satu kenyataan malam Rabu. 

Beliau berkata kerajaan perlu memikirkan mekanisme baru dalam membanteras gejala itu termasuk mewajibkan semua pegawai dan kakitangan agensi penguatkuasaan mengisytiharkan harta mereka secara berkala. 

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu atau Perdasama Datuk Moehamad Izat Emir berkata perubahan harus dilakukan supaya struktur ekonomi ditingkatkan setimpal dengan perubahan taraf hidup semasa khususnya kepada mereka yang berpendapatan sederhana dan layak. 

Semalam, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Abu Kassim Mohamed meminta kerajaan mengkaji semula kaedah pemberian subsidi diesel kerana berlaku banyak ketirisan yang merugikan negara.
subsidi , diesel

Artikel Berkaitan

Artikel Lain