suria

Kalimah 'Allah': Keputusan Permohonan Gereja 23 Jun

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan akan menyampaikan keputusannya pada 23 Jun ini, sama ada membenarkan atau tidak, permohonan kebenaran merayu oleh Gereja Katolik terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang melarang penerbitan mingguan 'The Herald' daripada menggunakan kalimah 'Allah', dalam versi bahasa Malaysia terbitannya. 

Peguam S.Selvarajah, yang mewakili gereja itu, ketika dihubungi Bernama berkata beliau menerima sepucuk surat daripada timbalan pendaftar Mahkamah Persekutuan Nor Aziati Jaafar petang semalam untuk memaklumkan tentang penetapan tarikh pada 23 Jun itu.

Peguam Kanan Persekutuan Andi Razalijaya A. Dadi yang mewakili kerajaan dalam kes itu, mengesahkan tarikh berkenaan dan berkata Jabatan Peguam Negara turut menerima surat daripada pendaftar mahkamah.

Pada 5 Mac, Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria, mempengerusikan panel tujuh anggota terdiri daripada Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif, Hakim Besar Malaya Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinuddin, Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum, dan tiga Hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Tan Sri Suriyadi Halim Omar, Datuk Zainun Ali dan Datuk Jeffrey Tan Kok Wha mendengar penghujahan daripada kedua-dua pihak.

Gereja itu memohon kebenaran daripada Mahkamah Persekutuan untuk meneruskan rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada 15 Okt tahun lepas yang melarang penggunaan kalimah Allah dalam versi bahasa Malaysia terbitannya.

Pada 31 Disember 2009, Mahkamah Rayuan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan The Herald untuk menggunakan kalimah Allah selepas Mahkamah Tinggi mengisytiharkan bahawa keputusan Kementerian Dalam Negeri melarang penerbitan itu daripada menggunakan kalimah Allah adalah menyalahi undang-undang, batal dan tidak sah.

Pada 2009, gereja Roman Katolik diketuai Archbishop Murphy Pakiam memfailkan permohonan semakan kehakiman dengan menamakan Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan sebagai responden, antara lain memohon perisytiharan bahawa keputusan kementerian melarang penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan The Herald adalah tidak sah.

Majalah mingguan itu, yang diterbitkan dalam empat bahasa, menggunakan kalimah Allah untuk merujuk kepada Tuhan dalam versi bahasa Malaysia, terutamanya bagi memenuhi keperluan penganut Katolik di Sabah dan Sarawak.

Mengikut Akta Mahkamah Kehakiman 1964, seseorang pemohon dalam kes sivil perlu terlebih dahulu mendapatkan kebenaran daripada Mahkamah Persekutuan dalam usaha membawa rayuan mereka ke Mahkamah Persekutuan yang merupakan mahkamah tertinggi di Malaysia.

Mahkamah Persekutuan, perlu memuaskan Mahkamah Persekutuan bahawa terdapat persoalan undang-undang melibatkan kepentingan awam yang turut mengandungi persoalan tentang prinsip umum yang belum pernah diputuskan sebelum ini oleh Mahkamah Persekutuan, yang perlu diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan.

Apabila Mahkamah Persekutuan berpuas hati bahawa persoalan undang-undang yang dikemukakan pemohon telah memenuhi keperluan perundangan, Mahkamah Persekutuan kemudiannya akan memberi kebenaran merayu.

Jika Mahkamah Persekutuan memutuskan untuk tidak memberi kebenaran merayu kepada gereja, keputusan Mahkamah Rayuan tetap terpakai dan gereja tidak boleh lagi mengemukakan rayuan.
kalimah Allah, S.Selvarajah

Artikel Lain