suria

Ekspedisi KE7B Catat Rekod Jelajah Greenland

Penjelajah meraikan kejayaan selepas menamatkan misi ekspedisi pada hari ke 27 di Greenland pada Sabtu lalu.
KUALA LUMPUR: Lapan penjelajah ekspedisi Kelab Eksplorasi 7 Benua (KE7B) Felda Greenland 2014 berjaya menamatkan misi penjelajahan sejauh 540 kilometer selepas 27 hari pada Sabtu lalu.

Ekspedisi itu mencatat sejarah buat negara kerana mereka merupakan kumpulan pertama dari Asia Tenggara yang berjaya merentasi pulau terbesar dunia yang 80 peratus permukaannya diliputi ais itu direkodkan pada pukul 9.30 malam waktu Greenland (7.30 pagi Ahad di Malaysia).

Penjelajahan itu dibarisi ketua ekspedisi Yanizam Mohamad Supiah, 29; Muhamad Shaiful Hisyam Abd Aziz, 25; Mohd Akasyah Jamaludin, 25; Muhammad Irwan Yusuf Abdullah, 34; Muhammad Musaddiq Samsudin, 25; dan Muhd Hafizuddin Abdul Muthalib, 25.

Misi itu juga disempurnakan pasangan suami isteri Abdul Rahman Abu Hassan, 31, dan Tahirah Najmunisaa Muhammad Zaid, 25.

Presiden KE7B, Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin atau dikenali sebagai Qobin dalam kenyataan di sini berkata: "Syukur pada Allah kerana segala yang dirancang berjaya dengan izinNya dan semua kini berada dalam keadaan selamat."

Beliau berkata, semua penjelajah kini berada di Kangerlusuaq sehingga 30 Mei dan dijangka pulang ke Kuala Lumpur melalui London.

Mereka dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 8 pagi, 3 Jun.

Penjelajahan itu bermula 28 April lalu dari Hans Glacier, Ammasalik merentasi pulau berkenaan dengan berjalan kaki dan menggunakan ski sambil mengheret 'sledge' untuk membawa barangan untuk kegunaan ekspedisi. 


Artikel Sebelum

Nasib Raja Bukit Malaysia

Artikel Berikut

Artikel Lain