suria

Taib Mahmud Terima Gelaran Tun

Gambar fail menunjukkan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah berkenan menyampaikan surat cara perlantikan sebagai Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak kepada Tan Sri Abdul Taib Mahmud di Istana Negara di Kuala Lumpur pada 28 Februari lalu.
KUALA LUMPUR: Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud dianugerahi darjah kebangsaan Seri Maharaja Mangku Negara (S.M.M), yang membawa gelaran Tun.

Anugerah itu disampaikan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah di Balairong Seri Istana Negara, Jalan Duta di sini.

Istiadat penganugerahan darjah tertinggi negara itu turut dihadiri Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem dan isteri Taib, Puan Sri Ragad Kurdi.

Pada 1 Mac lepas, Taib mengangkat sumpah sebagai Yang Dipertua Negeri Sarawak ketujuh setelah meletakkan jawatan sebagai Ketua Menteri Sarawak pada 28 Februari lalu.

Beliau memegang jawatan tersebut selama 33 tahun sejak 26 Mac 1981 bagi menggantikan bapa saudaranya Tun Abdul Rahman Ya'kub.

Anak sulung daripada 10 beradik kepada pasangan Mahmud Abang Yahya dan Hamidah Ya'kub itu dilahirkan pada 21 Mei 1936.

Taib berkhidmat sebagai hakim bersekutu di Mahkamah Agung Australia Selatan selepas menamatkan pengajian dalam bidang undang-undang di University of Adelaide, sebelum kembali ke Sarawak.

Beliau menceburi politik pada 1963 apabila menjadi anggota Majlis Perundangan Negeri Sarawak sehingga 1966.

Beliau kemudian dilantik sebagai Menteri Perhubungan dan Kerja Raya negeri dari 1963 hingga 1966 dan selepas itu dilantik sebagai Menteri Pembangunan dan Perhutanan.
Abdul Taib Mahmud

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain