suria

Bekas Tahanan Darurat Didakwa Bunuh Pemandu Lori

KLANG: Seorang bekas tahanan Ordinan Darurat dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan membunuh seorang pemandu lori dalam satu pergaduhan membabitkan dua kumpulan di Taman Sentosa di sini, 13 Mei lepas.

Rajasekaran Gunapal, 29, dari Klang mengangguk faham apabila jurubahasa mahkamah membacakan pertuduhan terhadapnya dalam bahasa Tamil di depan Majistret Fadli Yaakob. 

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkod.Mahkamah menetapkan 16 Julai depan untuk sebutan semula kes.

Tertuduh, yang juga seorang pengawal keselamatan, didakwa bersama beberapa individu masih bebas menyebabkan kematian Ganesan Manokaran, 31, dengan senjata berbahaya antara 1.30 pagi dan 2 pagi di Jalan Dato Abdul Hamid 20, Taman Sentosa di sini mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.     

Di Mahkamah Sesyen, Rajasekaran berdepan dua pertuduhan mencederakan tigaindividu iaitu Ganesan Manokaran, 31, Jegathesan Perumal, 43, dan Mohan Perumal,42, yang terlibat dalam pergaduhan pada hari sama dengan senjata berbahaya.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu bersama beberapa individu masih bebas mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun, atau denda, atau sebat, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. 

Hakim Tasnim Abu Bakar menetapkan 26 Jun depan sebagai sebutan kes. 

Pendakwaan dikendali Timbalan Pendakwa Raya Shahrul Ekhsan Hasim manakala tertuduh tidak diwakili peguam. 

Ordinan Darurat, Bunuh

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain