suria

Kemenangan Untuk Bapa Saya - Ramkarpal

GEORGE TOWN: Ahli Parlimen Bukit Gelugor yang baharu, Ramkarpal Singh Deo menyifatkan kemenangannya pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan itu sebagai hadiah kepada mendiang bapanya, Karpal Singh.

"Dalam Pilihan Raya Kecil ini, Karpal Singh amat penting kepada saya, beliau  sentiasa bersama saya.

"Saya dedikasikan kemenangan ini kepada beliau," katanya kepada pemberita selepas diumumkan sebagai pemenang bagi PRK Parlimen Bukit Gelugor di Dewan Sri Pinang, Ahad malam.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada pengundi yang memberikan kepercayaan kepadanya untuk mewakili rakyat di Bukit Gelugor.

"Terima kasih kepada pengundi yang memilih saya. Begitu juga kepada pemimpin DAP yang sentiasa menyokong saya. Mereka adalah hero bagi saya," katanya.

Ketika ditanya mengenai peratus pengundi yang merosot, Ramkarpal berkata beliau mempunyai alasan tersendiri namun menganggap peratusan itu adalah yang terbaik.

"Sokongan yang saya terima sejak dua minggu lalu amat menakjubkan sekali gus memberi kesan kepada kemenangan hari ini," katanya.

Ramkarpal berkata, tidurnya kini lebih selesa berbanding tempoh 12 hari lalu.

"Tidak sabar untuk menikmati yang cukup selepas ini," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata kemenangan besar yang diperolehi Ramkarpal merupakan referendum rakyat Pulau Pinang yang menolak kenaikan harga barang, GST, rasuah dan politik samseng.

"Walaupun majoriti lebih kecil, jika dicantumkan undi ketiga-tiga calon bebas, mereka tetap kehilangan wang pertaruhan.

"Pengundi di Bukit Gelugor tetap mengharapkan DAP untuk terus memperjuangkan nasib mereka," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain