suria

PM Kutuk Kenyataan 'Umno Celaka'

Datuk Seri Najib Tun Razak
PETALING JAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, pada Sabtu mengutuk kenyataan 'Umno celaka' yang dibuat oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) DAP, RSN Rayer.

Beliau bagaimanapun menggesa ahli-ahli Umno supaya tidak bertindak balas secara keterlaluan dengan isu ini.

"Saya mengutuk sekeras-kerasnya kenyataan menghina yang dibuat oleh ahli DAP yang sama sekali tidak sopan. Kita mungkin berbeza pendapat politik kita tetapi tidak disuruh mengeluarkan kata-kata kesat.

"Tindakan seperti ini akhirnya akan menghasut kepada berlakunya ketidakharmonian, kita semua rakyat Malaysia," katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan di laman rasmi Facebook, awal Sabtu.

Najib yang berada dalam rangka lawatan rasmi tiga hari ke Kazakhstan berkata ahli-ahli parti mengelakkan diri daripada mencemarkan nama baik parti.

"Pada masa yang sama, saya menyeru semua ahli Umno supaya tidak bertindak balas secara keterlaluan dengan melakukan perkara-perkara bertentangan dengan undang-undang atau disifatkan sebagai tidak bertanggungjawab.

"Sebarang reaksi perlu berada dalam batas-batas undang-undang dan kita mesti berusaha untuk meneruskan imej baik parti. Jaga nama baik parti kita," katanya.

Kenyataan 'Umno celaka' yang diucapkan oleh Rayer dalam Dewan Undangan Negeri awal minggu ini telah mencetuskan kemarahan di kalangan ahli-ahli Umno dengan beberapa siri bantahan di Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Kuantan berhubung keengganan Rayer untuk memohon maaf.
RSN Rayer, Najib Tun Razak, kutuk

Artikel Lain