suria

Abu Backer Tarik Balik Hasrat Saman Guan Eng

Abu Backer (dua dari kanan) berkempen menggunakan karavan yang diiringi kuda di Air Itam, Jumaat.
GEORGE TOWN: Selepas mengumumkan untuk menyaman Ketua Menteri Pulau Pinang beberapa hari lalu, calon Bebas, Abu Backer Sidek Mohamad Zan pada Jumaat menarik balik hasratnya itu.

Malah, beliau mengakui Lim Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP sebenarnya tidak bersalah dalam insiden tersebut.

Abu Backer mendakwa kecederaan yang dialaminya disebabkan pasukan keselamatan di Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bertindak mengasarinya.

"Guan Eng tidak bersalah dalam hal ini, jadi saya tak jadi ambil tindakan terhadapnya," katanya kepada pemberita selepas berkempen di luar perkarangan Masjid Bandar Baru Ayer Itam di sini, petang Jumaat.

Menurut Abu Backer, beliau terlalu marah dan tidak dapat berfikir dengan waras pada ketika itu.

"Waktu itu saya rasa geram dan marah sebab itu saya bertindak sedemikian.

"Namun selepas difikir-fikirkan semula,  saya rasa tindakan itu tidak perlu,"katanya.

Sebelum ini, peguam berusia 46 tahun itu dilaporkan mahu menyaman Guan Eng kerana mendakwa menyebabkannya cedera.

Pada Selasa, Abu Backer bertindak 'merempuh' kereta dinaiki Guan Eng selepas enggan bertemu dengannya yang menunggu di perkarangan DUN sejak pukul 12.30 tengah hari.

Sementara itu, beliau turut kesal kerana permohonannya untuk mendapatkan permit ceramah ditolak.

"Saya kesal dengan apa yang berlaku. Kenapa mereka perlu takut dengan calon bebas ini?

"Walaupun aduan telah dilakukan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tapi sehingga hari ini tidak ada maklum balas," katanya yang mendakwa tindakan itu  angkara Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Air Itam, Wong Hon Wai.

Jelasnya, beliau akan tidak teragak-agak untuk membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung penyalahgunaan kuasa jika pihak berkaitan gagal memberi penjelasan mengenai perkara itu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain