suria

Cheng Guan Nafi Gelar Ramkarpal Gay

Banting PCM yang mempertaruhkan Naib Presidennya sebagai calon PRK Bukit Gelugor.

GEORGE TOWN: Calon Parti Cinta Malaysia (PCM), Datuk Huan Cheng Guan menafikan dakwaan bahawa beliau yang menggelar Ramkarpal Singh Deo sebagai gay.

"Saya tidak pernah kata begitu. Tolong jangan putar belit kenyataan saya. Jika saya kata begitu, esok dia (Ramkarpal) boleh saman saya.

"Semua ini tidak masuk akal. Tuduhan itu tiada kena-mengena dengan saya," katanya pada sidang media di Bilik Gerakan PCM di Jalan Air Itam di sini, Rabu.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Ramkarpal yang mengecam tindakannya yang didakwa sengaja melancarkan serangan peribadi terhadap calon DAP itu pada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Bukit Gelugor.

Cheng Guan juga menuntut Ramkarpal mengemukakan bukti yang menunjukkan beliau mengeluarkan kenyataan sedemikian.

Pada Selasa, Naib Presiden PCM itu mempertikaikan tindakan Ramkarpal memuat naik gambar lelaki tegap di laman sosial, Facebook miliknya.

Sementara itu, Cheng Guan turut meminta Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Air Itam, Wong Hon Wai supaya membuat permohonan maaf atas dakwaan tidak berasas terhadap beliau seperti yang disiarkan dalam akbar Cina pada Isnin.

"Saya beri dia masa sehingga Sabtu untuk mohon maaf secara terbuka. Kalau tiada apa-apa berlaku, saya akan berbincang dengan peguam untuk tindakan lanjut," katanya.

Sebuah akhbar Cina melaporkan Hon Wai sebagai berkata, Cheng Guan tidak pernah menghulurkan sebarang bantuan kewangan kepada sekolah rendah Cina dan kebangsaan ketika beliau menjadi Ahli Parlimen Batu Kawan.

Artikel Berikut

Artikel Lain