suria

Kemalangan Maut: Gurauan Dikebumikan Bersama Jadi Kenyataan

Motosikal mangsa yang terlibat dalam kemalangan maut di Jempol Jumaat lalu.

JEMPOL: Gurauan tiga sekawan yang meluahkan hasrat untuk dikebumikan di tanah perkuburan sama menjadi kenyataan selepas terbunuh dalam kemalangan melibatkan empat motosikal di Felda Palong, di sini.

Muhammad Syahreedzwan Mohmad Abdullah, 17, Mohamad Aflin Norirfan Md Jani,15, dan Muhammad Faizal Nor Azman, 13, meninggal dunia selepas motosikal mereka terlibat dalam perlanggaran pada jam 9.30 malam, Jumaat lalu.

Seorang lagi rakan mereka, Mohd Mois Ikmal Mohd Nasir, 16, dimasukkan ke Hospital Kuala Pilah berada dalam keadaan koma.

Tiga remaja tersebut meninggal dunia di sebuah klinik di Felda Palong 9 pada malam sama. 

Menurut saksi, Muhammad Syahreedzwan, Mohamad Aflin dan Mohd Mois dalam perjalanan pulang ke rumah di Felda Palong 16 dan berlanggar dengan motosikal yang ditunggang oleh Muhammad Faizal dari arah bertentangan.

Abang Muhammad Faizal, Rosli Nor Azman 31, berkata, ketiga-tiga mereka sebelum itu telah mengambil bahagian dalam aktiviti gotong- royong membersihkan kawasan perkuburan Islam di Felda Palong 13.

"Semasa membersihkan kawasan itu, ada orang terdengar perbualan yang mahu disemadikan di tanah perkuburan yang sama berdekatan dengan pokok. 

"Muhammad Syahreedzwan kemudian berjenaka bahawa jika ingin dikebumikan berdekatan antara  satu sama lain, katanya lebih baik  dikebumikan bersama-sama di tempat yang sama," katanya.

Kakak kepada Muhammad Syahreedzwan Suziyana,33, berkata keluarga telah memutuskan untuk mengebumikan mereka di tempat yang sama.

Jempol, kemalangan maut

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain