suria

Abu Backer Kempen Guna Karavan, Teksi

GEORGE TOWN: Abu Backer Sidek Mohamad Zan yang bertanding sebagai calon Bebas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Bukit Gelugor memulakan kempennya untuk bertemu penduduk di Jalan Kampar di sini dengan menyewa 12 teksi, pada petang Selasa.

Malah, peguam berusia 46 tahun itu juga akan menggunakan karavan sebagai pentas ceramah tetapi ia masih belum siap sepenuhnya.

"Karavan yang dilengkapi speaker, tandas dan tempat tidur itu akan siap dalam tempoh sehari dua lagi. Saya akan bertemu rakyat menggunakan karavan bergerak ini, manakala penyokong akan mengikut saya menggunakan teksi," katanya.

Abu Backer berkata, tambang teksi sewa yang dinaiki oleh penyokongnya sepanjang tempoh berkempen itu akan dibiayai sendiri oleh mereka.

"Saya bayar sendiri tambang teksi pada hari ini begitu juga penyokong saya yang secara sukarela mengeluarkan wang untuk membantu kempen saya ini," katanya.

Terdahulu, Abu Backer bertemu dengan beberapa pemandu teksi di perkarangan hotel penginapannya di sini dan menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap kerajaan negeri yang enggan mengkaji kenaikan kadar tambang teksi di Pulau Pinang.

"Saya ingin membantu menyelesaikan isu teksi bermeter di negeri ini. Saya dapati pemandu teksi di sini tidak guna meter bukan kerana mereka sengaja mahu langgar peraturan tetapi kerana pelbagai kekangan yang masih belum diselesaikan,"  katanya.

Oleh itu, katanya, menerusi slogan 'Dari Rakyat Kepada Rakyat' beliau akan memperjuangkan hak pemandu teksi dan masalah rakyat terutamanya golongan berpendapatan rendah yang berdepan kos sara hidup yang tinggi.

Abu Backer akan berdepan saingan tiga penjuru menentang calon Ramkarpal Singh (DAP), Naib Presiden Parti Cinta Malaysia Datuk Huan Cheng Guan dan seorang lagi calon bebas, Mohamed Nabi Bux Mohd Nabi Abd Sathar pada 25 Mei ini.

Beliau yang mendakwa memiliki kilang kurma di Arab Saudi menetapkan peluang sebanyak 60 peratus untuk menang pada pilihan raya itu.

Artikel Lain