suria

Temuduga 3,314 Konstabel Polis Kaum Cina Bermula 25 Mei

Iklan pengambilan konstabel polis dalam kalangan masyarakat Cina.

KUALA LUMPUR: Sesi temuduga membabitkan 3,314 calon konstabel polis dalam kalangan masyarakat Cina akan dikendalikan enam panel di seluruh negara, bermula 25 Mei ini.

Penolong Pengarah Perjawatan (Pengambilan) ibu pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman, ACP Saiful Azly Kamaruddin, berkata sesi berkenaan meliputi enam zon dengan setiap panel akan diwakili dua pegawai kanan polis dalam kalangan komuniti Cina.

Beliau berkata, keseluruhannya, sebanyak 5,951 borang dikeluarkan dan pihaknya menerima 3,314 permohonan untuk jawatan konstabel dalam kalangan kaum Cina sejak dua bulan lalu.

"Jumlah permohonan itu adalah paling tinggi pernah dicatat dalam sejarah PDRM.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 2,094 merupakan permohonan dari golongan lelaki dan 1,220 permohonan kaum perempuan,” katanya pada sesi wawancara Perkembangan Eksesais Pengambilan Khas Jawatan Konstabel dalam Kalangan Kaum Cina dalam Kerjaya PDRM 2014 di sini, Jumaat.

Beliau berkata calon akan disenarai pendek bermula 25 Mei ini sehingga Jun dan mereka yang dipilih perlu menghadiri sesi ujian fizikal dan temuduga.

Bilangan kaum Cina yang berkhidmat dalam PDRM ketika ini hanya 1.87 peratus daripada jumlah keseluruhan tenaga kerja PDRM.

Saiful Azly berkata, kelonggaran syarat bagi kaum Cina adalah hanya perlu lulus mata pelajaran Bahasa Malaysia di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan lulus keputusan V/6/9 dalam ujian penglihatan mata atau dengan menggunakan cermin mata atau kanta lekap.

“Walaupun pengambilan kali ini hanya untuk jawatan konstabel, namun pemohon yang berkelayakan ijazah sarjana muda, ijazah sarjana dan diploma juga akan dipanggil untuk sesi pengambilan jawatan mengikut kelayakan masing-masing pada masa akan datang,” katanya.

Mengenai antara faktor kurang penglibatan kaum Cina dalam PDRM ialah gaji yang dianggap masih rendah, kurang pengetahuan tentang pasukan keselamatan serta menganggap ujian fizikal selama enam bulan sebagai satu penderaan.

“Setelah PDRM mengadakan program taklimat, barulah ibu bapa kaum Cina menggalakkan anak-anak mereka mengisi borang dan menyertai pasukan,” katanya.

Beliau berkata walaupun tarikh permohonan untuk jawatan konstabel telah ditutup pada 30 April lalu, namum mereka (pemohon kaum Cina) yang masih ingin mencuba nasib boleh menghantar borang ke balai polis berdekatan sebelum Isnin depan.

“Calon yang tidak dipanggil untuk temuduga diminta supaya menunggu sesi pengambilan baharu,” katanya sambil mengucap terima kasih kepada ketua polis daerah dan badan bukan kerajaan Cina yang mendorong kaum Cina menyertai PDRM.

Saiful Azly juga berkata hanya sembilan calon kaum Cina iaitu enam lelaki dan tiga wanita yang layak dalam sesi pengambilan jawatan konstabel tahun lalu.

“Berdasarkan statistik sehingga 31 Disember lalu, keanggotaan didominasi oleh kaum Melayu dengan sejumlah 90,156 orang, India (3,659), Cina (1,974) dan selebihnya lain-lain kaum,” katanya.


konstabel polis, Cina, enam panel

Artikel Lain