suria

'Datuk' Rugi RM50,000 Disamun 4 Lelaki

SHAH ALAM: Seorang lelaki berpangkat 'Datuk' kerugian hampir RM50,000 apabila rumahnya di Bukit Jelutong di sini disamun empat lelaki disyaki warga asing dalam satu kejadian awal pagi Khamis.

Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam, Superintenden Ruslan Abdullah berkata ketika kejadian pada kira-kira 4 pagi, suspek memasuki banglo tiga tingkat milik mangsa selepas mengumpil pintu gelangsar di depan kediaman berkenaan.

Beliau berkata rumah mangsa tidak dilengkapi sistem kamera litar tertutup atau alat penggera namun terdapat pengawal keselamatan di pintu masuk kawasan taman perumahan itu.

Ruslan berkata beliau percaya suspek membolosi pagar kediaman itu melalui kawasan semak di belakang banglo berkenaan dan menyerbu bilik tidur utama sebelum mengejutkan mangsa serta isterinya yang sedang tidur dengan mengacukan senjata berupa pemutar skru panjang.

"Setelah menggeledah bilik mangsa, suspek turut dipercayai mengarahkan Datuk tersebut membuka sebuah peti besi miliknya di dalam bilik itu yang menyimpan beberapa barang berharga.

"Seorang suspek pula telah membawa isteri mangsa ke bilik tidur ibunya di tingkat tiga dan mengugut untuk memukul kedua-duanya jika tidak menyerahkan barang berharga kepada mereka," katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Beliau berkata siasatan awal mendapati suspek memakai topeng ski hitam dan bersarung tangan menyebabkan mangsa tidak dapat mengecam identiti mereka.

Ruslan juga berkata suspek kemudian melarikan diri bersama barang kemas bernilai RM30,000 selain beberapa utas jam tangan pelbagai jenama dan mata wang pelbagai negara melalui pagar belakang banglo itu berikutan kawasan luarnya dipenuhi semak.

Katanya, polis sedang memburu kesemua suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.
Bukit Jelutong, Samun

Artikel Lain