suria

Murid Tahun Dua Terkena Simbahan Asid

ALOR SETAR: Seorang murid tahun dua Sekolah Rendah Islam Islah, Pendang yang sedang membeli sarapan di sebuah gerai melecur terkena simbahan asid yang dipercayai disimbah kepada pemilik gerai tersebut.

Ibu mangsa Nazriah Abdul Rahman, 41, berkata beliau dan anaknya Abdul Hakim Wafi Abdul Razak, 8, berhenti di gerai itu berhampiran Jabatan Kebajikan Masyarakat Pendang di Seberang Pendang untuk membeli nasi lemak sebelum menghantar anaknya ke sekolah.

"Saya berhentikan kereta saya di seberang jalan dan anak saya turun untuk membeli nasi lemak. Saya nampak dua orang lelaki yang menaiki sebuah motosikal turut berhenti di gerai itu sebelum seorang daripadanya turun daripada motosikal dan menyimbah sesuatu kepada pemilik gerai tersebut.

"Anak saya yang berada berhampiran turut terkena simbahan itu di bahagian kiri muka, tengkuk dan tangan. Dia melecur hampir 70 peratus dan kini stabil dan ditempatkan di Unit Rawatan Kebakaran," katanya kepada pemberita semasa ditemui di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, Khamis.

Bapa mangsa, Abdul Razak Hussin, 46, berkata beliau yang sedang berada di rumah dihubungi isterinya yang memberitahu kejadian yang menimpa anak ketiga mereka dari empat beradik itu. Beliau lalu bergegas ke situ.

"Saya tidak sangka perkara ini boleh terjadi kepada anak saya," kata Abdul Razak.

Bapa saudara mangsa Bashiron Hussin, 28, berkata kejadian berlaku pada pukul 7.15 pagi dan dua orang lelaki itu dikatakan bertopeng.

"Laporan polis telah pun dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Pendang," katanya.

Difahamkan pemilik gerai tersebut dan isterinya turut melecur teruk di muka dan belakang badan.

Gerai itu dikatakan baru sahaja dibuka semalam.

Ketua Polis Daerah Pendang DSP Abdul Aziz Ahmad mengesahkan telah menerima laporan berhubung kejadian itu dan siasatan sedang dijalankan.

Simbah Asid

Artikel Berikut

Artikel Lain