suria

Pemilihan PKR: 17 Cabang Undi Semula

Johari Abdul.
PETALING JAYA: Akibat kontroversi manipulasi undi membabitkan kepimpinan tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) parti terpaksa mengadakan pemilihan semula di 17 cabang di seluruh negara.

Berikutan itu juga, semua keputusan pemilihan parti ditangguhkan dan akan hanya diumumkan selepas selesai proses pemilihan semula.

Perkembangan terbaru itu seakan mengesahkan dakwaan bahawa wujud pelbagai taktik kotor dalam PKR bertujuan untuk memenangkan pemimpin tertentu.

Pengerusi JPP, Datuk Johari Abdul mengesahkan kesemua 17 cabang berkenaan menghadapi masalah ketika pemilihan yang berlangsung sejak 26 April lalu.

"JPP membuat keputusan bahawa cabang terbabit akan mengadakan pemilihan bagi peringkat cabang atau Majlis Pimpinan Pusat (MPP) atau kedua-duanya sekali pada hari Sabtu 17 Mei ini," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Daripada kesemua 17 cabang yang terlibat, hanya 13 daripadanya akan diadakan pada 17 Mei ini iaitu empat di Terengganu (Setiu, Kuala Nerus, Kemaman, Dungun) dan masing-masing dua di Pahang (Paya Besar, Jerantut); Johor (Pengerang, Tenggara); Sarawak (Batang Sadong, Kapit) dan Sabah iaitu Tenom serta Keningau.

Manakala empat lagi cabang iaitu Tawau dan Papar di Sabah, Bukit Katil (Melaka) dan Sungai Petani (Kedah) akan mengadakan pemilihan semula pada tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

Sehubungan itu, jangkaan awal bahawa keputusan penuh pemilihan akan diketahui selepas 11 Mei ini iaitu setelah berakhir pusingan ketiga membabitkan Negeri Sembilan, Wilayah Persekutuan dan Selangor  akan ditangguhkan sehingga selesai proses pemilihan semula.

PKR, JPP, Johari Abdul

Artikel Lain