suria

Siti Hanisah Azam Tawan Gunung McKinley, Alaska

SEPANG: Pendaki wanita negara, Siti Hanisah Sharuddin meneruskan misi pendakian dengan azam menawan Gunung McKinley, puncak tertinggi di benua Amerika Utara, selepas berjaya menjejakkan kaki ke Gunung Everest pada Mei tahun lalu.

Siti Hanisah, 24, berlepas ke Alaska, Amerika Syarikat dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) di sini Isnin diiringi dua jurulatihnya, Muhammad Illham Ishak dan Zainudin Lot, dalam usaha menamatkan misi 'Pendakian 7 Puncak Tertinggi di 7 Benua' yang dijangka berakhir Januari depan.

Beliau berkata, misi kali ini adalah yang keempat untuknya selepas menawan Gunung Kilimanjaro di Tanzania, Gunung Everest di sempadan Nepal dan Tibet serta Gunung Elbrus di Rusia.

"Ekpedisi ini akan mengambil masa kira-kira 22 hari. Ini kerana keadaan gunungnya yang curam serta barang keperluan dibawa sendiri tidak seperti pendakian sebelum ini," katanya kepada pemberita di KLIA.

Muhammad Illham, yang akan menyambut ulang tahunnya yang ke-37 Jumaat ini, berkata sudah lima tahun berturut-turut beliau menyambut ulang tahun kelahiran dengan menawan beberapa puncak tertinggi di dunia.

"Tahun ini, saya akan cuba menawan puncak itu yang tingginya 6,194 meter," katanya.

Sementara itu, Presiden Kelab Eksplorasi 7Benua (KE7B) Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin berkata, jika Siti Hanisah berjaya menyelesaikan misi pendakian kali ini, beliau merupakan wanita Malaysia pertama yang menawan Gunung McKinley, sekaligus menjadi wanita muslim pertama berbuat demikian.

"Kita akan memberikan sokongan supaya Siti Hanisah berjaya menyelesaikan misi Pendakian 7 Puncak Tertinggi di 7 Benua ," katanya.

Artikel Lain