suria

Demonstrasi Besar-Besaran Langkau Had Amalan Demokrasi - Tun Mahathir

Dr Mahathir Mohamad.
KUALA LUMPUR: Tindakan mengadakan demonstrasi besar-besaran untuk menjatuhkan kerajaan sebenarnya jauh terpesong daripada landasan amalan demokrasi, kata bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. 

Dr Mahathir berkata tindakan itu juga membuktikan pihak terbabit tidak memahami had kebebasan yang diberi untuk melahirkan rasa tidak puas hati. 

Beliau menegaskan salah guna amalan demokrasi menyebabkan banyak negara gagal membangun dan berkembang maju khususnya negara-negara yang baru berjinak-jinak dengan amalan itu.

"Kalau kita perhatikan demokrasi yang lama seperti di Eropah dan Amerika, mereka mungkin tidak puas hati dengan kerajaan yang dipilih majoriti tetapi mereka menunggu sehingga pilihan raya sekali lagi untuk menjatuhkannya.

"Sebab itu negara mereka aman, tenteram dan boleh dibangunkan dengan baik," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama di Perhimpunan Agung Persekutuan Antarabangsa Perekabentuk Dalaman/Pereka XXVI dan Kongres REKA 2014 di sini, Khamis.

Dr Mahathir berkata demikian mengulas tentang perhimpunan menolak pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (CBP) yang dianjurkan beberapa badan bukan kerajaan dengan sokongan parti politik pembangkang, yang disifatkan cuma alasan kepada tujuan yang lebih besar iaitu menjatuhkan kerajaan sedia ada. 

Sejajar dengan itu, Mahathir meminta rakyat Malaysia memilih sama ada mahu hidup secara aman harmoni, atau dalam keadaan huru-hara atas tindakan tidak bertanggungjawab segelintir pihak.

Beliau sekali lagi menegaskan wakil rakyat pembangkang sepatutnya memainkan peranan yang lebih berkesan di saluran yang betul iaitu di Parlimen, dan tidak mengheret rakyat ke jalan raya.

"Kalau nak guna 'street demonstration' tak guna pilih wakil rakyat sebab tak pernah berkesan," tegasnya.

Terdahulu dalam ucaptamanya, Dr Mahathir menggesa pemain industri untuk lebih kreatif dalam menghasilkan binaan yang mencerminkan identiti Malaysia dan warisan dunia.
 
Beliau juga meminta mereka mengambil perhatian iklim negara supaya binaan yang dihasilkan tidak mendatangkan masalah di kemudian hari.

Dr Mahathir juga melahirkan rasa bangga apabila Menara Berkembar Petronas masih menjadi sebagai ikon dan menarik ramai pengunjung meskipun terdapat monumen lain yang lebih menarik di negara luar. 

Artikel Lain