suria

Beri Pakatan Rakyat Masa Bincang Hudud - Anwar

Anwar Ibrahim.

PETALING JAYA: Ketua Pembangkang,  Datuk Seri Anwar merayu supaya diberi masa untuk membincangkan rancangan PAS yang tetap mahu melaksanakan hukum hudud di Kelantan walaupun mendapat tentangan hebat  sekutunya, DAP.‬

"Beri kami lebih banyak masa untuk berbincang mengenai perkara ini (hukum hudud).

"PAS boleh diyakinkan untuk mengadakan 'perbincangan sihat' mengenai perkara itu," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini, Selasa.‬

‪Beliau berkata, persetujuan ketiga-tiga parti penting apabila melibatkan perkara seperti ini.

‪Menurut Anwar, hukum hudud bukan sebahagian daripada agenda Pakatan Rakyat seperti yang dipersetujui dalam perjanjian permuafakatan bersama antara ketiga-tiga parti.‬

‪"Perjanjian yang ditandatangani pada 28 September 2011 memberikan penekanan terhadap Perlembagaan Persekutuan, dasar bersama dan Buku Jingga.‬

‪"Enakmen Jenayah Syariah Kelantan (1993) dan Terengganu (2003) telah berlaku sebelum penubuhan Pakatan Rakyat. PKR dan PAS menghormati perbezaan pendirian DAP dalam perkara ini," katanya.‬

‪Anwar berkata, pelaksanaan hukum hudud memerlukan sebuah institusi yang bersedia ke arah itu.‬

‪"Kita tidak boleh membayangkan situasi apabila kita cuba laksanakan sesuatu yang kita anggap penting kepada agama, sedangkan tiada institusi untuknya," katanya.‬

‪Isu hudud kembali hangat diperkatakan apabila Kelantan konsisten untuk melaksanakan Enakmen Syariah Kelantan II yang diumumkan melalui Menteri Besarnya Datuk Ahmad Yackob.‬

‪Namun, DAP menolak pelaksanaan hukum hudud yang dilihat bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan kepentingan nasional dalam Pakatan Rakyat.‬

Hudud, Anwar Ibrahim

Artikel Lain