suria

Pesara Hilang RM1.43 Juta, Mahkamah Rayuan Tukar Keputusan

PUTRAJAYA: Seorang pesara berputih mata bila polis dan kerajaan berjaya dalam permohonan di Mahkamah Rayuan di sini bagi mengetepikan anugerah RM1.43 juta yang diberikan Mahkamah Tinggi kepadanya kerana ditahan dan didera secara salah pada 1998.

Panel tiga hakim diketuai hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Aziah Ali berpendapat Mahkamah Tinggi silap dalam membuat keputusan yang menyatakan Dickson Ng Sek Wah ditahan secara salah.

Panel itu yang turut dianggotai hakim Mahkamah Rayuan Datuk Lim Yee Lan dan Datuk Abang Iskandar Abang Hashim sebulat suara membenarkan rayuan bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi di Shah Alam pada 9 Nov, 2010.

Hakim Aziah juga mengarahkan Ng membayar RM1,000 sebagai kos guaman kepada polis dan kerajaan.

Ng, 63, yang mewakili dirinya meminta hakim menerangkan kepadanya dalam bahasa mudah tentang keputusan itu. Hakim Aziah memberikan penjelasan.

Beliau juga memberitahu Ng supaya bertanyakan pada peguam yang hadir di mahkamah tentang sama ada beliau boleh merayu terhadap keputusan mahkamah itu.

Ng menyaman lapan pegawai polis termasuk ketua polis negara dan kerajaan pada 2000, dengan mendakwa beliau cedera teruk dalam tempoh soal siasat.

Beliau dikatakan ditahan untuk disoal berhubung import selaras 'submachine gun' dari Finland tanpa lesen sah.

Ng, ketika itu bekerja dengan syarikat penghantaran, mendakwa beliau hanya membantu import senjata itu sebagai sampel untuk menyertai tender terbuka yang dipanggil oleh Kementerian Dalam Negeri, bagi pihak polis.

Pada November 2010, Mahkamah Tinggi Shah Alam memberi anugerah RM1.43 juta selepas membenarkan tuntutannya.

Peguam Kanan Persekutuan Azizan Md Arshad sebelum itu, antara lain, berhujah bahawa hakim Mahkamah Tinggi Hinshawati Shariff silap kerana memutuskan anugerah itu berdasarkan satu keputusan Mahkamah Tinggi pada 2010 dalam kes bekas tahanan ISA Abdul Malek Husin lwn Borhan Daud.

Azizan berkata Mahkamah Rayuan kemudian mengubah keputusan itu.

Ng berkata beliau akan mengemukakan perkara itu ke Mahkamah Persekutuan. 


Artikel Sebelum

Artikel Lain