suria

Penerbit Drama Britain 'Indian Summers' Pilih Pulau Pinang

Banglo Woodside di Bukit Bendera menjadi pilihan lokasi penggambaran Indian Summers

GEORGETOWN: Pulau Pinang sekali lagi dipilih sebagai lokasi penggambaran bagi drama bersiri. Kali ini, seorang penerbit televisyen Britain berada di sini untuk menerbit siri drama televisyen berjudul 'Indian Summers'.

Syarikat penerbitan, New Pictures Ltd. dari London dengan kerjasama syarikat tempatan, Biscuit Films Sdn Bhd, akan menjalankan penggambaran 10 episod pertama drama tersebut di sini.

Ketua Eksekutif New Pictures, Charlies Pattinson, yang juga penerbit eksekutif 'Indian Summers', berkata beliau mencari lokasi terbaik untuk penggambaran siri drama itu.

"Sejak beberapa minggu lepas, saya meninjau India, Sri Lanka, Johor Baharu, Kuala Lumpur Bukit Fraser dan Cameron Highlands tetapi semua itu tidak berkenan di hati sehingga saya singgah di Pulau Pinang," katanya kepada pemberita sebelum majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan kerajaan negeri bagi penggambaran drama bersiri itu, di sini, Rabu.

Tahun lalu, kru penerbitan dan barisan pelakon siri komedi dari Hong Kong, 'Outbound Love', berada selama sebulan untuk sesi penggambaran di Pulau Pinang sebelum ke Kuala Lumpur.

Pattinson berkata, antara lokasi penggambaran di pulau tersebut ialah Hotel Crag dan Woodside Bungalow di Bukit Bendera, Muzium Negeri, Suffolk House dan Balik Pulau.

"Rakan kami di Malaysia iaitu Biscuit Films dan kami akan memulakan penggambaran bersama pelakon dan kru Britain serta Malaysia pada Isnin ini," katanya sambil menambah penggambaran 10 episod drama itu akan berjalan sehingga akhir Oktober ini.

'Indian Summers' dengan berlatar belakang bandar Simla di kaki bukit Banjaran Himalaya India, mengisahkan hari-hari terakhir British Raj, penjajah British yang berada di India antara tahun 1932 hingga 1947.

Terdahulu, syarikat penerbitan British itu memeterai perjanjian dengan kerajaan negeri untuk menyewa Hotel Crag dari sekarang hingga Disember 2015 pada kadar RM650,000.

Selain itu, syarikat berkenaan juga akan menyewa Woodside Bungalow pada kadar RM120,000 setahun untuk tempoh lima tahun bermula bulan ini.

Sementara itu, Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata syarikat penerbitan itu akan memulihkan bangunan yang usang itu untuk penggambaran drama bersiri itu.

"Para penerbit juga akan bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk mewujudukan infrastruktur penggambaran lestari untuk kembali bagi siri penggambaran akan datang serta memastikan lokasi penggambaran sekarang akan dilindungi dan diselenggara dengan baik sepanjang tempoh penggambaran," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain