suria

PKR Umum Panel Bantu Pelajar Lepasan Sekolah Dapatkan Biasiswa, Masuk Ke IPT

Panel khas yang ditubuhkan PKR akan membantu pelajar cemerlang yang gagal melangkah ke IPT dan mendapat biasiswa. -Gambar hiasan
PETALING JAYA: PKR bercadang menubuhkan Panel Rayuan Pengajian Tinggi (RRPT) untuk membantu pelajar cemerlang berpendapatan rendah mendapat kemasukan ke universiti dan biasiswa yang terjamin selepas golongan yang mengambil peperiksaan SPM dan STPM ini terlepas pandang, kata Ahli Parlimen Bayan Baru Sim Tze Tzin.

Panel itu terdiri daripada ahli-ahli muda PKR dan sukarelawan, bertujuan mengkaji semula sistem pemberian biasiswa Malaysia dan kelayakan yang diperlukan untuk melanjutkan pengajian di pendidikan tinggi, kata Sim pada sidang akhbar di ibu pejabat PKR pada Rabu.

Selepas meneliti masalah yang disenaraikan di atas, panel itu merancang untuk memperkenalkan pembaharuan dan meningkatkan penyelesaian alternatif untuk memperbaiki pelaksanaan memasuki gerbang pendidikan tinggi dan biasiswa.

Panel itu juga akan mengendalikan latihan kerjaya untuk lepasan sekolah dan bertindak sebagai perantara antara keluarga dan pihak yang sewajarnya bagi kes-kes yang diterima.

"Proses untuk memasuki institusi pengajian tinggi di Malaysia tidak pernah lari dari kontroversi. Setiap tahun, kita mendengar aduan awam dan rayuan daripada keluarga dan pelajar yang mencapai keputusan yang baik tetapi tidak mendapat peluang pengajian tinggi yang mereka pohon," kata Sim.

"Walaupun banyak kes yang menarik minat orang ramai adalah kes melibatkan pelajar cemerlang yang tidak dianugerahkan biasiswa, masih terdapat banyak lagi kes yang melibatkan pelajar daripada keluarga miskin yang memerlukan bantuan dalam mendapatkan kemasukan ke institusi pengajian tinggi," kata beliau sambil menambah panel itu akan memberikan tumpuan kepada kes-kes yang melibatkan keluarga berpendapatan rendah.

Artikel Lain