MH370: Bluefin-21 Teruskan Misi Ketujuh - Semasa | mStar

MH370: Bluefin-21 Teruskan Misi Ketujuh

Bluefin-21 digerakkan untuk misi ketujuh pada Sabtu.
PERTH: Bluefin-21, kenderaan dalam air (AUV), meneruskan misi ketujuh pada Sabtu, untuk pencarian dalam air bagi mengesan pesawat Penerbangan MH370 Malaysia Airlines di selatan Lautan Hindi.

Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC), yang mengawasi operasi pencarian berkata kenderaan tanpa pemandu itu telah memeriksa kira-kira 133 kilometer persegi setakat ini.

"Semalaman Bluefin-21 AUV menyelesaikan enam misi di kawasan pencarian dalam air dan data yang dikumpul kini sedang dianalisis," kata agensi itu dalam satu kenyataan di sini.

Tiada sebarang penemuan berkaitan ditemui.

Bluefin-21, yang dilengkapi sistem pengesan sonar dihantar untuk misi sulungnya pada Isnin, dengan harapan dapat mengesan sebarang serpihan pesawat Malaysia yang hilang dalam air memandangkan tiada lagi isyarat yang disahkan oleh alat pengesan pinger sejak 8 April lalu.

Ia menggunakan bunyi akustik untuk menghasilkan peta tiga dimensi dasar laut dan akan mengambil masa sekurang-kurangnya 24 jam untuk menyiapkan satu-satu misi itu, yang termasuk empat jam untuk memuat turun data yang dikumpulkan.

Untuk misi pada Sabtu, agensi itu berkata Lembaga Keselamatan Maritim Australia telah merancang usaha pencarian secara visual di kawasan kira-kira 50,200 km persegi, merentas tiga kawasan.

Sebelas pesawat tentera dan 12 kapal terbabit di kawasan pencarian itu, menurut kenyataan itu.

Ramalan cuaca hari ini melaporkan hujan di setengah-tengah tempat dengan tiupan angin timuran selatan," kata agensi itu.

Penerbangan MH370 berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam dan hilang daripada imbasan radar kira-kira sejam kemudian semasa terbang di ruang udara Laut China Selatan. 

Pesawat itu sepatutnya tiba di Beijing pada 6.30 pagi 8 Mac.

Misi pencarian yang disertai pelbagai negara digerakkan bagi menjejaki pesawat MH370 itu, mula-mula di Laut China Selatan selepas pesawat itu menyimpang daripada laluan asal, di selatan Lautan Hindi.

Selepas satu analisis data satelit menunjukkan bahawa kedudukan terakhir MH370 ialah di tengah-tengah Lautan Hindi, di barat Perth, Australia, Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak kemudian mengumumkan pada 24 Mac bahawa Penerbangan MH370 "berakhir di selatan lautan Hindi".

Bluefin-21 , MH370 , Lautan Hindi , Perth

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain