suria

Tidak Boleh Tarik Balik Arahan Catuan Air - MB

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor tidak boleh menarik balik arahan catuan bekalan air buat masa ini kerana paras air mentah di empangan-empangannya masih rendah, kata Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

"Kita (kerajaan negeri) tidak boleh tarik balik catuan sekarang. Ini kerana langkah itu akan menyebabkan akibat lebih buruk, air empangan akan turun lagi dengan lebih cepat," katanya pada persidangan dewan undangan negeri di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan usul yang dibawa Datuk Mohd Shamsudin Lias (BN-Sungai Burong) menggesa kerajaan negeri menghentikan catuan air yang dihadapi rakyat Selangor dan kawasan sekitarnya.

Jelas Abdul Khalid, kerajaan negeri akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Tenaga, Air dan Teknologi Hijau (KeTTHA) Isnin ini untuk mencari pendekatan dan langkah yang sesuai untuk menyelesaikan masalah air yang dihadapi rakyat.

Sementara itu, Mohd Shamsudin yang ditemui pemberita di lobi dewan meminta Abdul Khalid menerima tawaran daripada Kerajaan Negeri Sembilan yang bersedia menjual air terawat dari negeri itu.

"Untuk jangka masa pendek kita perlu penyelesaian segera dan pembelian air merupakan langkah yang tepat...kita tidak boleh tunggu sehingga paras air betul-betul di tahap kritikal," katanya.

Semalam, Kerajaan Negeri Sembilan dilaporkan bersedia menjual air terawat kepada Selangor dan Kuala Lumpur yang kini menghadapi masalah bekalan air.

Menteri Besarnya Datuk Seri Mohamad Hasan berkata kerajaan negeri tiada masalah menjual air maksimum 20 juta gelen sehari menerusi Loji Rawatan air Ngoi-Ngoi di Pantai, Seremban ke negeri berkenaan.

Air Selangor, Khalid Ibrahim, Syabas

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain