suria

Krisis Air: Kuatkuasa Undang-Undang Darurat

Piarapakaran
KUALA LUMPUR: Malaysia boleh menguatkuasakan undang-undang darurat jika bekalan air terawat masih di tahap bahaya menjelang musim kering pada pertengahan Mei.

Pengerusi Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia S Piarapakaran berkata, Malaysia berkemungkinan akan dilanda musim panas untuk kali kedua, namun paras empangan sehingga kini masih tidak mencapai tahap minimum 55 peratus.

Katanya, tahap kapasiti simpanan air mentah di negeri Selangor perlu melebihi kadar 55 peratus bagi mengelakkan Lembah Klang sekali lagi menghadapi krisis bekalan air.

"Lembaga Urus Air Selangor menetapkan tahap minimum 55 peratus kapasiti simpanan air mentah perlu dicapai.Bagaimanapun, setakat ini, kapasiti bagi empangan Sungai Selangor masih dalam lingkungan 37 peratus sahaja.
 "Jumlah kapasiti air terawat yang boleh diagihkan daripada loji perawatan air kira-kira 2,500 juta liter sehari (JLH), dan ini menyebabkan lebih daripada 50 peratus bekalan air di Lembah Klang bergantung kepada empangan Sungai Selangor," katanya di sini, Rabu.

Piarapakaran berkata, jika perkara ini tidak segera ditangani, kerajaan berkemungkinanan harus mengumumkan darurat dan menguatkuasakan Seksyen 56 Akta Industri Perkhidmatan Air (WSIA) 2006.

Beliau berkata, WSIA adalah kuasa khas semasa kecemasan berkaitan penggunaan sumber air yang diberikan kepada Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air.

Antara yang terkandung di dalam WSIA adalah menghalang pengunaan air secara umum atau untuk kegunaan tertentu, mengehadkan pengunaan dan pengeluaran air pada waktu tertentu dan mengenakan caj tambahan ke atas penggunaan yang melebihi had yang telah ditetapkan.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi mengesahkan negara dijangka mengalami musim kering berikutan peralihan ke Monsun Barat Daya pada pertengahan Mei sehingga September.

Pengarah Pusat Cuaca Nasional Jabatan Meteorologi, Muhammad Helmi Abdullah berkata, semasa Monsun Barat Daya taburan hujan dijangka berkurangan antara 100 hingga 200 milimeter sebulan.
 "Taburan hujan (100 hingga 200 milimeter sebulan) adalah normal ketika peralihan Monsun Barat Daya," katanya.

Muhammad Helmi berkata, pada bulan ini dan awal Mei, negara berada pada musim peralihan monsun dari Monsun Timur Laut ke Monsun Barat Daya dan taburan hujan mampu mencapai 250 hingga 350 milimeter sebulan.

Beliau berkata, jabatan itu akan memfokuskan proses pembenihan awan di sekitar Selangor dalam musim peralihan ini bagi meningkatkan paras air di empangan.
darurat, air

Artikel Sebelum

Artikel Lain