suria

Kereta Mercedes Benz Di Kedai Jual Kenderaan Terpakai Dicuri

NIBONG TEBAL: Sebuah kereta jenis Mercedes Benz E240 yang berada di dalam sebuah kedai menjual kenderaan terpakai di Taman Sri Acheh, di sini dilaporkan hilang kira-kira pukul 6.30 pagi Sabtu.

Jurucakap polis berkata kereta berwarna kelabu dengan nombor pendaftaran AGW 1413 itu dipercayai dicuri dua lelaki yang masuk ke kedai berkenaan setelah memecah pintu pagar kedai dan mengumpil pejabat kedai itu untuk mendapatkan kunci kereta.

"Sebaik berjaya mendapatkan kunci, mereka bertindak mencabut soket fius untuk mematikan kamera litar tertutup dan lampu di dalam kedai sebelum melarikan kereta itu," katanya kepada pemberita, di sini, Sabtu.

Ketika kejadian, pengawal keselamatan yang bertugas di kedai kenderaan terpakai itu sedang menunaikan solat subuh dan dia juga tidak menyedari kejadian itu.

Jurucakap itu berkata selain kereta, suspek turut melarikan kotak berisi pelbagai kunci kereta yang ditempatkan di kedai berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan Supritendan Shafien Mamat, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan siasatan lanjut masih dijalankan.


Mercedes Benz, dicuri

Artikel Lain