suria

China Tangguh Penghantaran Panda Kerana Kesibukan Tangani Isu MH370

Panda bernama 'Feng Yi' antara dua panda dari China yang ditangguhkan kedatangannya ke Malaysia ke akhir Mei depan.

PUTRAJAYA: Kedatangan dua Panda Gergasi dari China ke Malaysia, yang pada mulanya dijadual pada 16 April, ditangguh ke akhir bulan bulan depan.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri G. Palanivel berkata, kerajaan China menunda penghantaran dua beruang itu, Fu Wa (jantan) dan Feng Yi (betina) kerana kesibukannya menangani usaha mencari pesawat Malaysia Airlines MH370, yang penerbangannya dipercayai berakhir di selatan Lautan Hindi.

Sebanyak 153 daripada 227 penumpang yang berada dalam pesawat yang hilang pada 8 Mac itu adalah warganegara China. Gerakan mencari pesawat berkenaan memasuki hari ke-35 pada Jumaat.

Palanivel berkata, beliau memberi penjelasan tentang perkara itu dalam mesyuarat Kabinet pada Jumaat.

"Pada mulanya, dua panda berkenaan dijadual tiba pada 16 April, tetapi berikutan kejadian itu (kehilangan pesawat MH370), Duta Besar China berkata, mereka akan menghantar dua haiwan berkenaan pada akhir Mei.

"Mereka hendak mencari kotak hitam dulu," kata Palanivel kepada pemberita di pejabatnya di sini Jumaat.

panda gergasi, feng yi, fu wa, palanivel, mh370

Artikel Lain