suria

Bapa Tahanan Reman Mati Dalam Lokap Dapat Ganti Rugi RM461,000

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi pada Khamis memerintahkan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Pengarah Penjara Sungai Buloh dan empat yang lain membayar ganti rugi RM461,000 kepada bapa seorang tahanan reman yang mati di Penjara Sungai Buloh enam tahun lepas. 

Hakim Datuk Nik Hasmat Nik Mohamad membuat keputusan itu di dalam kamarnya selepas membenarkan saman yang difailkan M. Ghaur Chandram, 57, terhadap kesemua defendan berhubung kecuaian berlaku ketika anaknya, Uthayachandran ditahan di penjara itu.

Peguam Arnold Andrew memberitahu pemberita bahawa mahkamah memerintahkan agar Ghaur Chandram dibayar ganti rugi khas sebanyak RM1,000 setiap bulan bagi tempoh 16 tahun, ganti rugi am RM100,000 dan ganti rugi teladan, juga sebanyak RM100,000.

"Mahkamah juga memerintahkan defendan membayar kos sebanyak RM60,000, RM4,000 bagi pengebumian dan RM5,000 bagi probet," katanya.

Pada 12 Februari lepas, Nik Hasmat memutuskan Ghaur Chandram berjaya menuntut ganti rugi atas kecuaian yang berlaku ketika anaknya ditahan.

Dalam penghakimannya, Nik Hasmat berkata terdapat kecuaian yang dilakukan pihak penjara berkenaan ketika Uthayachandran, yang ketika itu berusia 23 tahun dan ditahan bagi kes dadah, berada dalam tahanan dan pihak responden sepatutnya bertanggungjawab terhadap keselamatan dan kesihatan mangsa.

Ghaur Chandram, seorang pemandu teksi, memfailkan saman itu pada 2009 dengan menamakan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri dan Pengarah Penjara Sungai Buloh sebagai responden pertama dan kedua.

Dia turut menamakan pegawai perubatan bertugas di Hospital Penjara Sungai Buloh, dua warden di penjara itu, serta kerajaan Malaysia masing-masing sebagai responden ketiga hingga keenam.

Uthayachandran meninggal dunia pada 18 Mei 2008.

Artikel Lain