suria

Program Pendidikan Islam Sepanjang Hayat Dilancar

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin (dua kanan) menunjukkan ayat suci ketika merasmikan program Pendidikan Islam Sepanjang Hayat di Kolej Komuniti Ledang di Tangkak, Sabtu. Turut Kelihatan Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamad Khaled Nordin (dua kiri) -fotoBERNAMA
LEDANG: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Sabtu melancarkan Program Pendidikan Islam Sepanjang Hayat (PISH) dengan memilih Kolej Komuniti sebagai institusi penggerak pelaksanaannya.

Beliau yang juga Menteri Pendidikan berkata program yang menggabungkan aspek kemahiran dan pendidikan agama mampu melahirkan modal insan dengan imbangan duniawi dan ukhrawi.

"Peringkat awal dahulu program pendidikan Islam ini telah dimulakan tetapi di tempat-tempat terpilih, namun kita telah buat keputusan Program Pendidikan Islam Sepanjang Hayat ini menjadi salah satu dasar nasional," katanya kepada pemberita selepas melancarkan program tersebut di Kolej Komuniti Ledang di sini, Sabtu.

Turut hadir Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Kolej Komuniti Datuk Amir Md Noor.

Muhyiddin berkata pelajar yang mengikuti kursus yang disediakan bukan sahaja menerima sijil dan kelayakan malah meningkatkan nilai diri dari segi ilmu agama.

Terdahulu, Muhyiddin dalam ucapannya berkata sejak 2011 hingga 2013, sebanyak 22,082 peserta telah mengikuti pelbagai kursus pendek berkaitan pendidikan Islam di kolej-kolej komuniti seluruh negara.

Beliau berkata melalui PISH, kursus-kursus berkaitan pendidikan Islam akan diperluaskan ke 90 Kolej Komuniti seluruh negara selain di kawasan komuniti terdekat seperti dewan orang ramai dan masjid.

Katanya PISH akan dilaksanakan melalui beberapa fasa dengan fasa pertama bermula tahun ini bertemakan "membina hubungan dan mengeratkan ukhuwah".

Muhyiddin berkata fasa tersebut melibatkan kerjasama antara institusi terlibat iaitu Lembaga Penasihat Penyelarasan Pelajaran dan Pendidikan Agama Islam (LEPAI), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), majlis agama Islam negeri, institusi tahfiz dan pondok serta badan bukan kerajaan bagi membina kesefahaman dan kepercayaan.

"Perkongsian sumber meliputi kewangan, tenaga pengajar, pembangunan modul, fasiliti dan prasarana akan dilaksanakan secara guna sama selaras hasrat kerajaan mengamalkan penjimatan menerusi pendekatan strategi lautan biru," katanya.

Katanya fasa kedua pula akan bermula pada 2015 bertemakan "memperkasa bakat insan" dengan tiga program akan ditawarkan di bawah fasa tersebut untuk menyediakan kepelbagaian kepada golongan sasaran dan komuniti.

Timbalan Perdana Menteri berkata ia meliputi program persijilan bersama antara agensi berkolaborasi, program berkonsepkan "kolej komuniti serba santai" yang membolehkan peserta mengikuti kursus pendek hujung minggu serta program pembelajaran Islam kontemporari yang menjurus aspek fardhu kifayah.

Dalam pada itu, Muhyiddin mengumumkan Pengerusi LEPAI Tan Sri Mohd Yusof Noor dilantik sebagai penasihat PISH.

Katanya pelantikan itu dibuat berdasarkan pengalaman dan kepakaran dimiliki Mohd Yusof dalam aspek penyelarasan pendidikan Islam di Malaysia.

Artikel Lain