suria

Polis Serbu 'Las Vegas' Miri

Gambar hiasan.

MIRI: Polis menyerbu sebuah premis dipercayai sarang kaki judi komputer yang diubah suai menyerupai pusat perjudian mewah terkenal Las Vegas di Amerika Syarikat.

Ketua Polis Miri ACP, Gan Tian Kee berkata, serbuan dilakukan pasukan petugas khas Ibu Pejabat Daerah Miri di tingkat bawah sebuah bangunan di Bandar Baru Permyjaya pada 3 petang dalam satu operasi dinamakan 'Ops Dadu'.

"Sebanyak 46 unit mesin perjudian komputer yang sedang berfungsi dirampas termasuk komputer kawalan perjudian dan turut dirampas wang hasil perjudian sebanyak RM291," katanya kepada pemberita di sini Khamis.

Beliau berkata suspek, kedua-duanya lelaki warga Indonesia yang dipercayai bertugas sebagai penjaga pusat perjudian itu, ditahan dan sewaktu serbuan tiada pelanggan dalam premis berkenaan.

Katanya, kedua-dua suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka dan Seksyen 5(2) Ordinan Hiburan 2001 kerana dipercayai menjalankan perniagaan tanpa lesen sah.

Artikel Lain