suria

Malaysia Nafi Beri Layanan Berbeza Kepada Waris Penumpang Warga China

Bala Chandran Tharman.

BEIJING: Kerajaan Malaysia tidak membezakan layanan kepada waris penumpang warga China pesawat MH370 dengan mereka yang berasal dari negara lain, kata Timbalan Ketua Perwakilan Kedutaan Malaysia di Beijing, Bala Chandran Tharman.

Beliau berkata, keutamaan delegasi peringkat tinggi itu ialah menangani keperluan anggota keluarga dan mereka akan meneruskan usaha berkenaan.

Seorang waris berkata, media online China menyebarkan dakwaan bahawa anggota keluarga di negara ini menerima berita pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkaitan tragedi pesawat itu seminggu lebih lewat berbanding mereka yang tinggal di Amerika Syarikat.

Sehubungan itu, beliau meminta delegasi berkenaan memperjelas dakwaan itu serta memberi alasan mengapa berlaku diskriminasi atau layanan berbeza kepada anggota keluarga warga China.

"Tiada diskriminasi sedemikian terhadap anggota keluarga warga China seperti yang anda nyatakan.

"Saya amat menghargainya jika anda boleh memaklumkan kepada kami laporan dan sumber yang anda rujuk," katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Operasi dan Eksesais Markas Operasi Udara, Mejar Jeneral Datuk Affendi Buang berkata delegasi berkenaan menerima berita yang diumum Najib pada 24 Mac iaitu pada hari yang sama dengan anggota keluarga. 

"Apa yang saya tahu, hanya satu berita berkaitan penerbangan itu yang diumum Perdana Menteri.

"Tiada pengumuman lain dibuat sebelum itu," katanya.

Pada 24 Mac lepas, Najib mengumumkan bahawa penerbangan pesawat MH370 yang dilapor hilang "berakhir di selatan Lautan Hindi".

Pada taklimat rutin pada Ahad, selain meminta persembahan 'power point' dibuat dalam tulisan Cina, anggota keluarga terbabit meminta delegasi peringkat tinggi menyediakan butiran aset kapal dan pesawat 26 negara yang terlibat dalam operasi mencari serta menyelamat (SAR).

Isu teknikal yang dibangkit pula berkisar tentang pemancar lokasi kecemasan (ELT) pesawat, jika peralatan kecemasan boleh ditutup akibat campur tangan manusia atau kegagalan sistem.

Sementara itu, Affendi berkata 29 anggota keluarga penumpang warga China yang tiba di Kuala Lumpur hari ini akan menginap di Hotel Bangi-Putrajaya bersama-sama waris lain dari negara itu, yang sudahpun berada di situ.

Ketika ini, mereka menginap di Hotel Holiday, Subang. 

Delegasi peringkat tinggi itu, yang diketuai Komander Operasi Udara TUDM, Leftenan Jeneral Datuk Seri Ackbal Abdul Samad, ditugaskan memberi taklimat kepada keluarga berkaitan perkembangan terkini SAR bagi pesawat jenis Boeing 777-200ER berkenaan.

Pasukan itu, yang terdiri daripada wakil Pejabat Perdana Menteri, Kementerian Luar, TUDM, Jabatan Penerbangan Awam dan Malaysia Airlines, tiba di Beijing Khamis lepas.

Beijing, MH370, Bala Chandran Tharman

Artikel Lain