suria

'Kita Sudah Temuramah Mereka Yang Perlu Ditemuramah Berkaitan MH370' - KPN

Khalid Abu Bakar.

KUALA LUMPUR: Polis telah melakukan semua temuramah dengan pihak-pihak yang berkaitan dengan kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370.

"Kami telah menemuramah semua orang yang diperlukan untuk ditemuramah," kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar sambil menambah bahawa lebih 50 orang telah ditemubual.

Beliau berkata, keterangan yang diperolehi termasuk dari keluarga penumpang, isteri Kapten Zaharie Ahmad Shah, dan juga Jabatan Penerbangan Awam (DCA) serta pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Beliau berkata, penemuan daripada temuramah itu tidak boleh didedahkan kerana ia boleh menjejaskan sebarang pendakwaan pada masa depan.

Polis tidak menolak mana-mana empat kemungkinan yang membawa kepada kehilangan pesawat iaitu rampasan, sabotaj , masalah peribadi dan masalah psikologi.

"Semua penumpang telah diperiksa. Fokus kita dalam siasatan sentiasa tertumpu kepada anak-anak kapal.

"Walaupun tumpuan kepada mereka, mereka tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah," katanya.

Khalid turut menafikan laporan sebuah akhbar harian berbahasa Melayu, yang memetik seorang penganalisis tentera kanan bagi Tentera Udara Amerika Syarikat, Leftenan Jeneral Thomas G. McInerney bahawa terdapat teori mengenai pesawat yang hilang berada di Pakistan.

"Tanpa sebarang bukti, semuanya masih spekulasi. Jangan membuat sebarang spekulasi," katanya.

Pesawat MH370, yang membawa 227 penumpang, termasuk dua bayi, dan 12 anak kapal, hilang dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing kira-kira sejam selepas ia berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada pukul 12:41 pagi Sabtu.

Pencarian pesawat MH370 yang hilang kini memasuki hari ke-17 .

Khalid Abu Bakar, MH370

Artikel Lain