suria

MH370: Keluarga Penumpang di China Hargai Taklimat

Keluarga penumpang MH370 di China keluar dari dewan selepas selesai taklimat mengenai status terkini kehilangan pesawat tersebut sejak 8 Mac lalu.

BEIJING:  Anggota keluarga penumpang warga China Malaysia Airlines (MAS) MH370 di sini menghargai inisiatif kerajaan Malaysia menghantar pasukan peringkat tinggi ke Beijing untuk memberi taklimat mengenai situasi dan operasi mencari dan menyelamat pesawat itu.

Duta Malaysia di China, Datuk Iskandar Sarudin berkata saudara-mara kepada penumpang pesawat yang hilang sejak 8 Mac lepas itu berpuas hati dengan banyak maklumat yang disampaikan oleh pasukan itu.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut mengenai maklumat terperinci yang disampaikan oleh pasukan yang diketuai oleh Komander Operasi Udara, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Leftenan Jeneral Datuk Seri Ackbal Abdul Samad.

"Mereka melihat sesi penerangan itu berguna untuk lebih memahami situasi keseluruhan," katanya kepada wartawan Malaysia selepas sesi taklimat selama tujuh jam yang dihadiri oleh 350 anggota keluarga penumpang di sini, Ahad.

Iskandar berkata taklimat itu dibahagikan kepada dua sesi iaitu penyampaian maklumat terkini dan sesi soal jawab dengan anggota keluarga.

"Seperti biasa, kami menjawab soalan yang boleh dijawab manakala soalan yang memerlukan pengesahan selanjutnya, kami meminta mereka mengemukakan soalan bertulis," katanya.

Beliau berkata pelbagai soalan berhubung teknikal, radar, keselamatan serta aspek operasi mencari dan menyelamat dibangkitkan pada sesi taklimat itu.

Beliau menyifatkan sesi taklimat hari ini berjalan lancar berbanding keadaan kecoh semalam sehingga menyebabkan anggota pasukan itu dan wakil Malaysia meninggalkan bilik taklimat.

Sementara itu, Wen Wancheng, ayah kepada Wen Yongsheng, 33, salah seorang penumpang pesawat itu, memberitahu pemberita bahawa pasukan Malaysia itu telah menjawab soalan-soalan yang dibangkitkan.

"Pasukan itu juga menerima beberapa soalan bertulis dan akan menemui kami semula esok," katanya.

Pesawat, yang membawa 239 penumpang termasuk 153 warga China itu, hilang kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Beijing pada pukul 12.41 tengah malam, 8 Mac lepas.

Misi mencari dan menyelamat membabitkan pelbagai negara yang memasuki hari ke-16 hari ini masih gagal memberi petunjuk sahih tentang nasib mereka yang menaiki pesawat itu.

MH370, China, Malaysia, MAS

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain