suria

Masih Belum Ada Pengesahan Berhubung Dua Objek - Hishammuddin

KUALA LUMPUR: Pasukan penyiasat masih belum menerima sebarang bukti pengesahan berhubung penemuan dua objek yang dikesan oleh satelit yang mungkin ada kaitan dengan kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 di Lautan Hindi setakat ini, lapor Reuters.

"Saya menerima semua laporan setiap pagi. Masih belum ada petunjuk positif mengenai penemuan itu," kata pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Hussein kepada pemberita pada Jumaat.

Kerajaan Malaysia percayai pesawat tersebut dilencongkan ke laluan lain dengan sengaja dan terbang beberapa jam selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Komunikasi kali terakhir antara pesawat itu dengan satelit berlaku di satu daripada dua koridor iaitu koridor utara yang menjangkau lebih kurang dari sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan hingga ke utara Thailand, atau koridor selatan dari Indonesia hingga ke selatan Lautan Hindi.

Pihak berkuasa di Kuala Lumpur pada Isnin meminta Canberra untuk bertanggungjawab melakukan pencarian di koridor Selatan.

Pada Khamis, pihak berkuasa Australia berkata, dua objek dikesan oleh imej satelit di selatan Lautan Hindi.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain