suria

Pereka Landskap Dituduh Bersabit Dadah Terlepas Hukuman Gantung

Abdul Aziz Zainol Abidin, 28 (kiri) diiring keluar dari dewan perbicaraan selepas Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Zaki Abdul Wahab memutuskan dia dibebaskan dari hukuman gantung di Mahkamah Tinggi Kangar dekat Kangar, Khamis. -fotoBERNAMA
KANGAR: Seorang pereka lanskap berusia 28 tahun terlepas hukuman gantung apabila Mahkamah Tinggi Kangar pada Khamis membebaskan dan melepaskan dia dari tuduhan mengedar dan memiliki dadah, dua tahun lepas. 

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Mohd Zaki Abdul Wahab membuat keputusan itu berikutan kegagalan pihak pendakwaan membuktikan kes prima facie terhadap Abdul Aziz Zainol Abidin. 

Mengikut kertas pertuduhan Abdul Aziz didakwa mengedar dan memiliki dadah pada 18 Sept 2012 pada kira-kira pukul 2.05 petang di Kompleks Jeti Kuala Perlis, Kangar. 

Bagi pertuduhan pertama, dia dituduh mengedar dadah berbahaya seberat 20.5 gram (11.6 gram heroin dan 8.9 gram monoacetylmorphines) dan didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952. 

Seksyen itu memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Pereka landskap itu juga dituduh di lokasi dan waktu sama mengikut Seksyen 12(2) ADB 1952 kerana memiliki dadah seberat 0.15 gram (0.11 gram heroin dan 0.04 gram monoacetylmorphines) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(3) akta sama. 

Kesalahan mengikut seksyen ini ialah denda maksimum RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali. 
Abdul Aziz diwakili peguam K.T. Jayaraj manakala Timbalan Pendakwa Raya Perlis, Azhar Mokhtar mengendalikan pendakwaan.

Artikel Lain