suria

MH370: Malaysia Hantar Nota Diplomatik Kepada Negara Dalam Dua Koridor

Hamzah Zainuddin.
SEPANG: Malaysia telahpun menghantar nota diplomatik kepada 14 negara di kawasan dua koridor bagi membantu pencarian pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang sejak 8 Mac.

Timbalan Menteri Luar Datuk Hamzah Zainuddin berkata lebih separuh daripada negara berkenaan menyatakan persetujuan secara lisan bagi membantu Malaysia mencari pesawat itu.

Beliau berkata Malaysia masih menunggu respons negara lain terhadap nota diplomatik yang dihantar pagi Isnin.

"Harapan kita agar semua negara terbabit akan memberi respons terhadap permintaan kita. Jadi perkara ini tidak akan jadi masalah kerana kebanyakan negara terbabit sudahpun bersetuju secara lisan," katanya dalam sidang akhbar perkembangan pencarian pesawat MH370 di sini, Isnin.

Sabtu lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa pencarian pesawat MH370 memasuki fasa baharu dengan tumpuan beralih ke dua kawasan iaitu koridor utara dan koridor selatan.

Koridor utara dianggarkan menjangkau dari sempadan Kazakhtstan dan Turkmenistan sehingga ke utara Thailand manakala koridor selatan dianggarkan menganjur dari Indonesia ke utara Lautan Hindi.

Malaysia, menerusi Kementerian Luar, menghantar nota diplomatik bagi meminta negara yang berada dalam kedua-dua koridor menyalurkan bantuan lanjut, termasuk data satelit dan analisis, data radar serta aset maritim.

Antara negara terbabit ialah Kazakhstan, Uzbekistan, Kyrgyzstan, Turkmenistan, Pakistan, Bangladesh, India, Vietnam, Thailand dan Indonesia.

Pesawat MH370, yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 12.41 pagi 8 Mac. 

Ia dijadual mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama.


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain