suria

Lapan Ditahan Bantu Kes RM300,000 Hilang Di BNM

Lima daripada lapan orang suspek dibawa masuk ke dalam van polis selepas mendapat tahanan reman selama tiga hari bermula Rabu dari Mahkamah Majistret bagi membantu siasatan berhubung kehilangan wang sebanyak RM300,000 dari sebuah bilik pemprosesan duit di Bank Negara Malaysia (BNM) Pejabat Wilayah Pulau Pinang, Rabu. -fotoBERNAMA
GEORGE TOWN: Lapan individu, termasuk seorang wanita, ditahan bagi membantu siasatan berhubung kehilangan wang tunai sebanyak RM300,000 dari sebuah bilik pemprosesan duit di Bank Negara Malaysia (BNM) Pejabat Wilayah Pulau Pinang di sini. 

Jurucakap polis berkata kesemua suspek yang berusia lingkungan 26 hingga 34 tahun itu dipercayai pekerja sebuah institusi kewangan dan ditahan secara berperingkat sekitar Pulau Pinang sejak semalam hingga awal pagi Rabu.

"Menurut laporan polis yang dibuat oleh pengurus institusi kewangan berkenaan, pada Khamis lepas, pengurus BNM telah memaklumkan kepadanya bahawa sejumlah wang dari bilik pemprosesan mata wang telah hilang. 

"Hasil pemeriksaan mendapati sebanyak RM300,000 telah hilang dari bilik berkenaan dan dipercayai kejadian itu (duit hilang) berlaku sejak September lalu hingga Rabu lepas," katanya kepada pemberita Rabu. 

Beliau berkata siasatan dalaman oleh polis bantuan BNM berjaya mengenal pasti lapan individu yang dipercayai terlibat dengan kehilangan wang berkenaan. 

"Susulan itu, polis menahan mereka bagi membantu siasatan dan polis juga tidak menolak kemungkinan mereka ini mengambil wang itu dalam kuantiti sedikit kerana selepas semakan pihak BNM mendapati ia hilang secara berperingkat," katanya. 

Jurucakap itu berkata setakat ini, polis belum menemui wang yang dilapor hilang.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang SAC Mazlan Kesah ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan dan berkata siasatan lanjut masih berjalan.

"Tujuh lelaki dan seorang wanita yang ditahan itu kini direman sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan," katanya. 

Syarikat institusi kewangan berkenaan dilantik sebagai ejen BNM untuk membuat kerja pengiraan wang.

bnm, bank negara malaysia, rm300, 000

Artikel Lain