suria

Mayat Lelaki Ditemui Di Laluan Pejalan Kaki

KOTA BAHARU: Mayat seorang lelaki yang dipercayai mengalami masalah mental ditemui tertiarap di laluan pejalan kaki berhampiran bangunan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian di sini, Isnin.

Kejadian disedari oleh seorang pelajar perubatan yang melalui blok bangunan berkenaan pada pukul 11 malam. 

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Baharu, Supt Idris Abd Rafar ketika dihubungi hari ini berkata pelajar berkenaan melihat susuk tubuh lelaki di kawasan itu selepas pulang dari bilik X-ray untuk ke asrama. 

"Pelajar itu nampak seorang lelaki lengkap berpakaian tertiarap sebelum memanggil pegawai perubatan wad kecemasan hospital itu untuk memeriksa keadaan lelaki terbabit sebelum mengesahkan kematian mangsa," kata Idris. 

Beliau berkata, pihaknya mendapati yang mangsa merupakan pesakit psikiatri yang menerima rawatan di HUSM sejak 20 Julai 2011 sehingga 8 Jan lalu serta telah menerima rawatan sebanyak enam kali. 

"Mangsa juga dikatakan telah bercerai dengan isterinya dan hasil perkahwinan terdahulu mempunyai dua anak lelaki.

"Mengikut maklumat, dia juga kini tidak bekerja dan tinggal dengan kedua ibu bapanya," katanya.

Beliau berkata keluarga mangsa telah dikesan dan mayat mangsa dibawa ke unit forensik HUSM untuk bedah siasat sebelum jenazahnya dituntut keluarga.

"Kematian mangsa diklafikasikan sebagai mati mengejut dan tiada kaitan dengan unsur jenayah," katanya.

Artikel Lain