suria

Peralihan Pucuk Pimpinan Upko Tidak Jejas Semangat Setiakawan BN

Bernard Dompok.

KOTA KINABALU: Semangat setiakawan komponen parti Barisan Nasional (BN) Sabah tidak akan terjejas meskipun berlaku peralihan tampuk kepimpinan parti Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko), kata Naib Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Radin Malleh.

Beliau mengulas laporan media bahawa Presiden Upko Tan Sri Bernard Dompok dijangka mengumumkan peletakan jawatannya pada Rabu.

Radin berkata jika bekas anggota Parlimen Penampang itu mengumumkan persaraannya, beliau percaya hubungan Upko dengan parti lain termasuk PBS kekal bersama semangat setiakawan BN.

Radin yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah percaya kerjasama komponen parti BN akan terus kukuh bagi menjamin kesejahteraan rakyat negeri ini pada masa depan.

Dompok yang juga bekas ketua menteri Sabah dan bekas menteri Industri Perladangan dan Komoditi gagal mengekalkan kerusi Parlimen Penampang semasa pilihan raya Umum ke-13 pada Mei tahun lepas, dan beliau difahamkan bakal menyerahkan tampuk kepimpinan parti kepada pemimpin nombor duanya Datuk Wilfred Madius Tangau.

Terdahulu, semasa merasmikan Seminar Teknologi Komunikasi Maklumat (ICT) di Kompleks Tabung Haji di sini, Radin berkata seminar itu merupakan inisiatif bagi meningkatkan penggunaan ICT dalam sistem penyampaian kerajaan tanpa mengabaikan prinsip ketelusan, akauntabiliti dan integriti masing-masing.

"Oleh itu, kemahiran menggunakan teknologi maklumat hendaklah menjadi teras bagi setiap penjawat awam khasnya mereka yang berhadapan dengan rakyat secara langsung," katanya. - BERNAMA

Upko, Bernand Dompok, PBS

Artikel Lain