suria

Hampir 80 Peratus Daripada Pusat Sembelihan Ayam Di Seluruh Negara Tidak Berlesen

Hampir 80 peratus daripada 2,000 pusat sembelihan ayam di seluruh negara tidak berlesen dan belum berdaftar dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar.

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani mahukan negeri-negeri menguatkuasakan Enakmen Perladangan Unggas masing-masing supaya semua pusat penyembelihan mempunyai lesen bagi memudahkan pemantauan oleh pihak berkuasa, kata Menteri berkenaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

"Semua negeri yang ada enakmen itu perlu menguatkuasakannya supaya memudahkan pihak berkaitan seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, pihak berkuasa tempatan dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar memantau operasi mereka seterusnya boleh mengambil tindakan sekiranya melanggar syarat lesen," katanya.

Setakat ini hanya dua negeri iaitu Terengganu dan Pulau Pinang yang masih belum mempunyai Enakmen Perladangan Unggas, katanya dalam sidang media selepas menghadiri mesyuarat bersama Exco Pertanian negeri-negeri di sini Selasa.

Beliau berkata hampir 80 peratus daripada 2,000 pusat sembelihan ayam di seluruh negara tidak berlesen dan belum berdaftar dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar.

Kesemua pusat sembelihan ayam yang tidak berlesen berkenaan merupakan pengusaha kedai kecil-kecilan yang diragui status halal dari segi cara penyembelihannya.

Sementara itu Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar Datuk Dr Abd Aziz Jamaluddin berkata sekiranya semua kerajaan negeri menguatkuasakan Enakmen Perladangan Unggas, maka mudah untuk pihaknya memantau serta mengambil tindakan undang-undang terhadap pengusaha pusat sembelihan ayam yang gagal mematuhi peraturan.

"Mengikut Enakmen Perladangan Unggas, pengusaha pusat sembelihan ayam yang gagal mematuhi peraturan boleh didenda sehingga RM2,000 dan pusat itu boleh ditutup," katanya.

Penguatkuasaan enakmen ini juga adalah untuk memastikan semua pusat sembelihan ayam, termasuk itik, puyuh dan ayam belanda mematuhi sembelihan cara Islam, menjaga kebersihan, menguruskan pengolahan kumbahan dan produk dikeluarkan dapat dijamin kualitinya serta halal, katanya.

ayam, sembelih, lesen, veterinar

Artikel Lain