suria

Tidak Adil Salahkan PM Atas Kegagalan Waythamoorthy - Khairy

Khairy Jamaluddin.
Khairy Jamaluddin.

KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda Umno Malaysia Khairy Jamaluddin berkata adalah tidak adil bagi P. Waythamoorthy menyalahkan Datuk Seri Najib Tun Razak kerana kegagalan bekas senator dan timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri itu melaksanakan perubahan.

Menteri Belia dan Sukan itu dalam tulisan di twitternya berkata Waythamoorthy tidak bertindak sebagai peserta pasukan dan tidak melaksanakan apa yang diperjuangkannya.

Beliau berkata Waythamoorthy mendesak supaya semua bajet kerajaan untuk masyarakat India diletakkan di bawah budi bicaranya kerana beliau mahu mengawal wang, dengan mengetepikan agensi dan kementerian.

"Bila beliau tidak mendapat ini, beliau berhenti dan menyalahkan Perdana Menteri," kata Khairy.

Beliau berkata bila Waythamoorthy membawa hal-hal tertentu ke perhatian Najib, segalanya diselesaikan.

Khairy berkata sekalipun ketiadaan Waythamoorthy, kerajaan tetap komited memajukan masyarakat India dan menyelesaikan isu seperti pendidikan dan kemiskinan.

Minggu lepas, Waythamoorthy melepaskan semua jawatannya, dengan mendakwa kerajaan tidak melakukan perubahan sosio-ekonomi untuk membantu masyarakat miskin India.

Sementara itu, Presiden Barisan Kemajuan India Malaysia (IPF) Datuk M. Sambanthan meminta Waythamoorthy supaya tidak mengulangi kenyataan yang memburukkan kerajaan demi kepentingan sendiri.

Tindakan Waythamoorhty mendesak Najib meletak jawatan memperlihatkan beliau cuba menutup kegagalannya sendiri semasa memegang jawatan timbalan menteri.

"Saya juga membidas sebagai tidak betul tuduhan Waythamoorthy yang mengatakan kerajaan tidak membantu masyarakat India.

"Selama ini jelas banyak bantuan yang telah diberikan dan terbaru Najib mengumumkan peruntukan RM100 juta setahun untuk disalurkan kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil," kata Sambanthan.

Beliau mengulas dakwaan Waythamoorthy kononnya kerajaan di bawah Najib gagal menunaikan janji membantu masyarakat India di negara ini.

"Sepatutnya dia sebagai Timbalan Menteri mewakili kaum India dalam kerajaan, harus panggil semua pemimpin kaum India untuk berbincang mengenai program yang boleh dilaksanakan.

"Tetapi selama sembilan bulan Waythamoorthy jadi timbalan menteri, dia tidak panggil pun pemimpin kaum India, malah tidak bercampur dengan sesiapa," katanya.

Sambanthan berharap rakyat terutama masyarakat India tidak terpengaruh dengan dakwaan Waythaamoorthy yang dilihat cuba memburukkan kerajaan demi kepentingan sendiri. - BERNAMA

Artikel Lain