suria

PRK Kajang: Ada Kemungkinan BN Ubah Strategi Di Saat Akhir - Saifuddin

KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata Pakatan Rakyat (PR) telah bersedia untuk berdepan mana-mana calon, sama ada dari MCA atau pun Umno.

Beliau berkata terdapat kemungkinan Barisan Nasional (BN) akan mengambil kerusi parti komponen MCA dan meletakkan calon Umno untuk menghadapi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang pada saat-saat akhir kerana ia pernah berlaku sebelum ini.

"BN pernah ubah strategi pada saat akhir.

"Pernah berlaku Umno ambil kerusi MCA berdepan calon PKR pada PRU-13 di mana pada 2008 kita lawan MCA di Kuantan, 2013 kita lawan Umno. Di Wangsa Maju kita lawan MCA pada 2008, pada 2013 kita lawan Umno," katanya kepada mStar Online, di sini, Selasa.

Beliau ditemui selepas mengadakan sidang media mengenai Konvensyen Pakatan Rakyat kali kelima yang akan diadakan di Shah Alam, 8 Mac ini.

Menurut Saifuddin, walaupun PR masih tertanya-tanya siapakah calon BN di Kajang tetapi pihaknya telah bersedia berdepan dengan sesiapa sahaja.

"Siapa sahaja (calon) janji lawan BN," katanya.

Beliau berkata, tempoh masa yang lama diambil oleh BN untuk mengumumkan calonnya di Kajang sedikit-sebanyak akan memberi kelebihan kepada PR.

Tambahnya, beliau percaya kelewatan itu juga mempunyai kaitan dengan BN yang dikatakan bermasalah untuk meletakkan calon yang sesuai bagi berdepan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Saya percaya BN pun sedang menimbang, sebab itu SPR beri masa yang panjang untuk BN selesaikan parti mana nak bertanding, MCA lagi atau Umno.

"Kemudian nak cari calon yang mempunyai kredibiliti. Mereka perlukan masa di Kajang kerana mereka kalah 6,824 undi (majoriti), mereka tahu mereka ada masalah di situ," katanya.

Sementara itu, Naib Presiden MCA Datuk Dr Hou Kok Chung pada Isnin menyatakan keyakinan anggotanya akan dipilih sebagai calon BN dalam PRK Kajang.

Keyakinan itu timbul berdasarkan sejarah penglibatan parti komponen berkenaan bertanding di kawasan sama.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata calon BN di Kajang haruslah mempunyai prestasi dan kredibiliti yang baik.

Mengenai calon BN yang dikatakan dari MCA, beliau berkata:"Kerusi itu merupakan kerusi MCA. Walaupun ada pelbagai pandangan, ini tidak dapat diputuskan sehingga dibincangkan dengan Presiden MCA dan lain-lain komponen dalam parti.

"Semua ini terserah kepada Pengerusi BN Datuk Seri Najib Razak," katanya.

Kerusi DUN Kajang kosong selepas Ahli DUN itu Lee Chin Cheh dari PKR meletak jawatan pada 27 Januari lepas, berikutan itu pembangkang menamakan ketua mereka, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon.

Kajang mempunyai 39,030 pengundi dengan 48.3 peratus daripadanya Melayu, Cina (40.5 peratus), India (10 peratus) dan kaum lain (1.2 peratus).

Pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2004, MCA memenangi kerusi itu tetapi tewas pada PRU 2008 dan PRU 2013 kepada PKR.

Artikel Lain