suria

OKU Dan Bayi Antara Mangsa Banjir Perlukan Bantuan

BEAUFORT: Bayi berusia 10 bulan dan orang kurang upaya adalah antara hampir ribuan mangsa banjir yang dipindahkan di pusat-pusat pemindahan banjir di daerah ini sejak Khamis lepas.

Mohd Helme Justin, 21, dari Kampung Luagan dipindahkan ke pusat pemindahan di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Beaufort III atas faktor keselamatan selepas banjir itu turut melumpuhkan pekan Beaufort akibat paras air Sungai Padas melebihi paras bahaya.

Ibunya, Saadiah Matlan 47, berkata pada awalnya beliau enggan berpindah kerana sukar untuk membawa Mohd Helme, seorang OKU, namun pasukan keselamatan berusaha membantu memindahkan mereka anak-beranak.

Saadiah yang berbesar hati dengan bantuan itu berkata Mohd Helme, anak keempat daripada enam beradik, menghidap sejenis penyakit hidrosefalus (kepala membesar akibat penyakit kerana gangguan aliran cairan dalam otak) sejak berusia sebulan walaupun dilahirkan secara normal.

Beliau berkata kepala anaknya kini tidak lagi membesar sejak berumur 10 tahun tetapi dia hanya terbaring kerana tidak mampu berjalan.

"Dia sihat tetapi tidak dapat bangun kerana tidak dapat menampung berat kepalanya dan sehingga kini tidak menjalankan apa-apa rawatan untuk membuang cairan yang terlalu banyak itu.

"Dia (Mohd Helme) boleh bercakap tetapi ikut 'mood' dan dia juga boleh memahami percakapan serta boleh menjawab setiap pertanyaan yang ditanya," katanya.

Saadiah berharap pihak-pihak yang berkaitan memberi bantuan berupa kerusi roda bagi memudahkan pergerakan anaknya itu.

Sementara itu, seorang ibu muda Siti Nurhasima Nurdin 20, yang turut mempunyai anak menghidapi penyakit yang sama berusia 10 bulan, adalah antara hampir 800 mangsa di pusat pemindahan itu.

Siti Nurhasima dari Kampung Balibata itu berkata mereka sekeluarga terpaksa memilih untuk berpindah bersama bayi apabila paras air banjir semakin meningkat di kampung mereka.

"Saya harap banjir ini surut cepat dan kami sekeluarga dapat menjalani kehidupan seperti biasa kerana agak susah untuk berada di sini lama-lama memandangkan anak yang masih kecil," katanya. BERNAMA

Artikel Lain