suria

Lelaki Warga Thailand Lemas Ketika Memukat Ikan

JITRA: Mayat seorang lelaki warga Thailand yang dilaporkan lemas ketika memukat ikan bersama rakannya di Sungai Tandop, Tanjung Sepat di sini petang Isnin ditemui pada Selasa.

Pegawai Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kedah Rahimi Ali berkata mayat mangsa Prayun Padjanda, 30, yang bekerja sebagai pesawah, ditemui pasukan mencari dan menyelamat pada pukul 9.55 pagi, kira-kira 100 meter dari tempat mangsa terjatuh ke dalam sungai itu.

Katanya pihaknya menerima panggilan pada pukul 9.24 malam tadi dan sampai ke tempat kejadian pada pukul 9.40 malam dengan kekuatan lapan anggota dan dua bot untuk mencari mangsa di tebing sungai.

Beliau berkata operasi tersebut terpaksa ditangguhkan pada pukul 4 pagi Selasa dan diteruskan pada pukul 8 pagi yang turut dibantu lapan anggota daripada Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Petani.

Majikan mangsa Phairod Phadtajaphan, 36, berkata mangsa dipercayai memukat ikan selepas keluar dari rumahnya di Kampung Padang Hang, Alor Setar pada pukul 9 pagi Isnin.

Katanya kehilangan mangsa yang baru setahun bekerja sebagai pesawah itu disedari rakannya yang turut memukat ikan di sungai sama kira-kira pukul 12.30 tengah hari Isnin.

"Dia (mangsa) tinggal bersama isterinya selalu memukat ikan di sungai itu untuk keluarga," katanya ketika ditemui di Hospital Jitra di sini. - BERNAMA

Artikel Lain