suria

Kementerian Pendidikan Diminta Selesai Masalah Sekolah Kebangsaan Simunul

TAWAU: Anggota Dewan Undangan Negeri Bugaya, Datuk Ramlee Marhaban mengesa Kementerian Pendidikan supaya segera menyelesaikan masalah Sekolah Kebangsaan Simunul di Semporna.

Beliau berkata sekolah itu kini terbiar dan dalam keadaan daif.

"Banyak struktur utama bangunan sekolah termasuk dinding, atap zink dan siling telah reput, malah ada yang runtuh, manakala sebahagian lagi menunggu masa untuk roboh.

"Masalah di sekolah ini bukan perkara baharu tapi sudah berlanjutan sejak sekian lama. Bagaimanapun tiada tindakan diambil pihak berkuasa bagi mengatasinya meskipun beberapa laporan telah dibuat," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

"Keadaan ini memperlihatkan bahawa pegawai kementerian tidak prihatin dengan struktur sekolah yang daif serta membahayakan keselamatan murid dan guru," tambahnya.

Ramlee berkata bagaimanapun pihaknya berterima kasih dengan pihak pengurusan sekolah, pegawai pendidikan daerah dan pengarah pendidikan negeri yang begitu serius dan sabar membantu serta menghantar laporan kepada pihak kementerian.

Beliau yang juga pembantu menteri kewangan negeri meminta agar peruntukan untuk pembangunan semula sekolah itu disalurkan terus kepada jabatan pendidikan.-BERNAMA

Artikel Lain