suria

Rasa Sangsi Dapat Menyelamatkan Masyarakat Daripada Kerugian Berbilion Ringgit

PETALING JAYA: Orang ramai dinasihatkan menanam rasa sangsi apabila berdepan dengan situasi melibatkan transaksi wang kerana ia boleh mengelak daripada menjadi mangsa jenayah 'kolar putih'.

Ketua Penolong Pengarah Risikan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Asisten Komisioner Najmi Mustaffa berkata, rasa sangsi atau berjaga-jaga akan membuatkan mangsa tidak terlalu emosional dan membuat keputusan terburu-buru.

Menurutnya, dalam setiap kes sama ada penipuan atau pecah amanah jenayah, mangsa kebanyakannya terlalu mempercayai suspek sehingga tiada rujukan atau pemeriksaan lebih terperinci dilakukan.

"Apabila tiada rasa sangsi, mangsa mudah membuat keputusan untuk melakukan pelaburan, memberi kuasa dan menyerahkan wang kepada suspek yang telah memberi keyakinan dengan pelbagai alasan.

"Dalam keadaan teknologi serba canggih hari ini, penipuan atau penyelewengan dapat dilakukan dengan mudah kerana bukti-bukti dapat dipalsukan," katanya kepada mStar Online.

Berikutan itu jelasnya, orang ramai perlu menanam rasa sangsi kerana ia akan membuatkan seseorang itu melakukan pemeriksaan lanjut serta mendapatkan nasihat pihak ketiga yang mungkin lebih mengetahui mengenai sesuatu penipuan.

Najmi memberitahu, JSJK juga menghadapi cabaran lebih besar pada tahun ini apabila perlu menangani kes jenayah pecah amanah atau CBT supaya ia tidak menjadi trend baru yang boleh mengganggu kemasukan pelabur asing dan ekonomi.

"Kes CBT dalam syarikat korporat akan memberi implikasi besar terhadap kepercayaan pelabur asing dan ekonomi, malah ia juga bukan perkara mudah untuk ditangani oleh JSJK.

"Tetapi demi menjaga keselamatan negara daripada pelbagai sudut, anggota polis perlu berjuang menjaga keselamatan ekonomi supaya ia tidak membuka peluang kepada penjenayah 'kolar putih' memperbesarkan aktiviti mereka," ujarnya lagi.

Artikel Lain